Artikel

WILAYAH TIGA

- Diterbit 11 Disember 2020 9:37 AM MYT

Kuala Lumpur ibu,
kepada wilayah kami
ditadbir payung mahkota
memercik cahaya kemilau
tempat berteduhnya;
segala perjuangan
segala pencarian
segala pertemuan
bagai mengutip bahagia
di luar mimpi.

Kuala Lumpur dibangun
dari seluruh dimensi
dengan karun fikir
menjadi muara citra
tempat bertemunya
segala cerita.

Putrajaya yang rendang
dengan landskap seniman
sebuah laman akliah
sepakat bijaksana
dalam visi saujana
di meja muafakat
lontaran kudrat
dengan langkah berkat.
Putrajaya bagai cermin
hakikat.

Tempat berlabuhnya
daya cipta,
sumbang saran dan karya
pentadbiran.
Labuan di sebalik lautan
akrab dalam hati dan
rohani kami.

Pulau tempat
singgahnya segala
beburung hayat
membawa laba
untuk dilabur
dalam khazanah
nusa.

Di wilayah inilah
nadi dan denyutnya,
perkasa dan berjasa!

Solihin Osman
Dangau Seni

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas