Artikel

Apabila pegar makan padi…

SINDIKET cop palsu sempadan yang melibatkan kakitangan kerajaan dan
- Diterbit 6 Disember 2020 6:00 AM MYT

“Oleh itu, Adi menyokong tindakan SPRM dan Jabatan Imigresen yang bertindak tegas melumpuhkan sindiket cop palsu sempadan ini dalam usaha menyisihkan mereka yang menjadi duri dalam daging.

‘HARAPKAN pegar, pegar makan padi’. Begitulah keadaannya apabila ramai kakitangan imigresen, termasuk seorang timbalan pengarah, ditahan dalam ‘Ops Selat’ kerana disyaki terbabit dalam sindiket salah guna cop keluar masuk di sempadan negara.

Selain itu turut ditahan belasan ejen pekerja asing dan orang awam kerana dipercayai menjadi orang tengah dalam kegiatan haram tersebut. Tangkapan dilakukan di Putrajaya, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.

Mereka disyaki terlibat dalam sindiket memalsukan cop keluar masuk untuk membolehkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disenarai hitam oleh pihak berkuasa, serta pekerja asing yang tamat tempoh visa, terus
berada dalam negara dan menyalahgunakan visa untuk bekerja secara haram.

Adi difahamkan, kegiatan bermula sejak setahun lalu dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
mengesan kegiatan mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

Perintah tersebut menyaksikan sempadan negara ditutup. Ini menyebabkan ramai pekerja asing yang berada di dalam negara terkandas manakala yang berada di luar tidak dapat memasuki Malaysia.

Ketika inilah sindiket mengambil peluang kerana banyak permintaan daripada majikan untuk pekerja asing melanjutkan tempoh berada di negara ini, di samping permintaan daripada pekerja asing, termasuk PATI yang
mahu pulang ke negara asal.

Untuk membolehkan urusan ini berjalan lancar, ejen pekerja asing mempergunakan kakitangan imigresen yang
sedia bersekongkol untuk memudahkan urusan.

Memang mudah kerana pengesahan cop keselamatan dilakukan tanpa kehadiran pemilik pasport dan tidak perlu keluar masuk ke Malaysia, walhal menurut syarat permit pemilik pasport perlu hadir sendiri ke pejabat Imigresen bersama pasport yang sah dan pas lawatan sosial yang belum tamat tempoh.

Kaedah yang dipanggil pasport terbang’ ini memang memudahkan warga asing. Ejen mengumpulkan semua
pasport yang menggunakan pas lawatan sosial yang tamat tempoh kepada pegawai imigresen yang bersekongkol
dan pas lawatan sosial akan diperbaharui. Mudah dan upahnya besar!

SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen menggerakkan ‘Ops Selat’ bagi membanteras kegiatan haram ini serta menumpaskan sindiket yang nyata bagai gunting dalam lipatan.

Kebanyakan mereka yang ditahan adalah petugas di pintu utama keluar masuk negara seperti Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2, Kompleks Kastam, Imigresen Sultan Iskandar (KIK) Johor
Bahru, selain di Kuching dan Kota Kinabalu.

Bagi Adi perbuatan ini mengkhianati amanah yang diberi untuk memantau serta mengawal keluar masuk rakyat asing ke negara ini, terutama ketika PKP. Kerana imbuhan, nilai diri digadai. Pelbagai imbuhan yang diberi menjadikan gelap mata, sehingga mereka hidup mewah bergaya melampaui kemampuan.

Apa yang menghairankan Adi, ada di antara yang ditahan ini mempunyai rekod jenayah seperti kes samun dan mencuri kenderaan. Malah dia didakwa sebagai terlibat dengan kongsi gelap.

Bagaimanakah individu seperti ini melepasi tapisan untuk memasuki perkhidmatan awam? Adi sangat berharap pihak berkuasa meneliti dan menapis dengan ketat caloncalon yang memohon untuk memasuki perkhidmatan
awam agar tidak tersalah pilih.

Adi sangat sedih kerana perbuatan segelintir kakitangan imigresen ini bukan sahaja mengkhianati kepercayaan menjaga pintu keluar masuk negara tetapi mendedahkan negara kepada risiko keselamatan.

Untuk berlaku adil, bukan semua terlibat dalam perbuatan tidak berintegriti ini. Namun, sekelompok yang melakukan telah merosakkan nama baik keseluruhan jabatan. Akibat nila setitik, rosak susu sebelanga.

Oleh itu, Adi menyokong tindakan SPRM dan Jabatan Imigresen yang bertindak tegas melumpuhkan sindiket cop palsu sempadan ini dalam usaha menyisihkan mereka yang menjadi duri dalam daging.

Adi juga menyambut baik kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, yang menegaskan Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan kakitangan yang menyalahgunakan kuasa.

Mereka yang terlibat hendaklah bersedia menghadapi tindakan undangundang. Jika didapati bersalah kelak haruslah menerima akibat daripada perbuatan sendiri. Yang penting kegiatan tidak bermoral ini dibendung dan
keselamatan negara tidak dikompromi.

MAHU UNTUNG, TIDAK MAHU BERUSAHA

Program ‘Wilayah Bebas Berniaga’ mulai 15 November hingga 15 April 2021 rupanya bukan sahaja menarik ramai warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk menceburi bidang perniagaan tetapi juga menarik  pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk kepentingan diri.

Ini disuarakan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa yang mendedahkan sikap  pihak tertentu mengambil kesempatan menjadi orang tengah dalam program berkenaan yang merupakan inisiatif kementeriannya.

Walaupun program ini sangat fleksibel di mana mereka yang ingin membuka warung atau gerai boleh berbuat demikian di lokasi pilihan dengan permit sementara, masih ada yang mahu mengaut untung dengan cara mudah.

Kelompok ini cuba mewujudkan sindiket orang tengah dengan mengambil kawasan tertentu, malah berebut kawasan.

Harapan mereka ialah dengan memasang gerai di lokasi tertentu, mereka akan mengutip bayaran daripada bakal peniaga.

Adi sangat kecewa dengan sikap orang seperti ini sentiasa sahaja mahu mengaut untung ketika kerajaan komited
berusaha membantu orang ramai berniaga, khususnya warga Wilayah Persekutuan dan warga Malaysia amnya.

Diri sendiri tidak mahu berusaha untuk memperoleh wang, sebaliknya menyusahkan orang lain yang benar-benar mahu mencari rezeki, terutama golongan yang terjejas dengan pandemik COVID-19.

Seperti ditegaskan oleh Annuar, tidak perlu ada orang tengah dan tauke atau sebagainya kerana tujuan kerajaan ialah membantu rakyat mencari pendapatan.

Justeru jika ada orang tengah dan kena membayar pula kepada mereka, maka matlamat dan sasaran ‘Wilayah
Bebas Berniaga’ tidak menepati sasaran.

Dalam hubungan ini, Adi berharap mereka yang ingin menyertai program ‘Wilayah Bebas Berniaga’ tidak mudah
masuk dalam perangkap orang tengah, sebaliknya lakukan urusan sendiri.

Ini kerana segala urusan dipermudahkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). Kebebasan diberi kepada mereka mendirikan gerai atau warung di tapak pilihan asalkan tidak menganggu pergerakan orang ramai dan lalu lintas, menjaga kebersihan serta mendapatkan permit sementara.

Adi juga berharap Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) membantu peniaga dengan cara bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar pelaksanaan program tersebut tidak menyusahkan peniaga. Bersamalah banteras orang tengah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas