WILAYAH PRIHATIN lebih dinamik
TERAS utama yang diumumkan lebih bersifat menyeluruh.

WILAYAH PRIHATIN lebih dinamik

UNGKAPAN ‘Wilayah Persekutuan, Wilayah Prihatin’ tidak lagi dilihat retorik atau penyedap hati warga kota khususnya mereka yang tergolong dalam kategori isi rumah berpendapatan sederhana, M40.

Ini kerana, kesemua 13 teras utama yang diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa adalah bersifat dinamik dan menyeluruh berikutan manfaatnya tidak terhenti pada golongan B40 serta miskin bandar sahaja.

Umum juga sedia maklum, selain B40, kumpulan yang turut terkesan dek peningkatan kos sara hidup adalah golongan M40 khususnya mereka yang tinggal di bandar besar Kuala Lumpur. Walaupun bergaji besar, namun mereka juga terbeban dengan perbelanjaan harian yang tidak pernah berkurang terutama kos pengangkutan dan tempat tinggal.

Keadaan lebih mendesak apabila sektor ekonomi merosot disebabkan penularan wabak COVID-19 di Malaysia dan dunia sekali gus menyukarkan aliran kewangan berlaku.

Justeru, bantuan kerajaan amat diharapkan berikutan keadaan ekonomi tidak mampu kembali seperti asal biarpun aktiviti perniagaan dijalankan semula.

Manfaat 13 teras utama KWP

MURID sekolah di Wilayah Persekutuan juga tidak terkecuali daripada menerima manfaat pendidikan.

DENGAN perkenalan teras perumahan, usahawan, kemiskinan dan pendidikan di dalam 13 konsep Wilayah Prihatin, masyarakat kota khususnya di Kuala Lumpur dapat merancang strategi khas dalam pengurusan kewangan serta kehidupan harian masing-masing terutama dalam tempoh COVID-19.

Selain itu, teras gelandangan, keselamatan, perpaduan, keindahan, kebersihan, sukan, asnaf, kehijauan dan seni budaya yang diprogramkan turut memberi nilai tambah kepada warga kota kerana ia mensejahterakan keseluruhan Wilayah Persekutuan.

Kompas baharu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) itu dilihat lebih tersusun dan fokus kepada pembangunan dasar yang melibatkan warga kota terutama sekali dalam menyelesaikan masalah dan isu yang dihadapi untuk jangka masa terkini dan hadapan.

Pelaksanaannya juga sejajar seruan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu memastikan tiada rakyat tercicir semasa mengumumkan pelan rangsangan ekonomi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Berdasarkan tinjauan dan maklum balas yang diterima, warga kota menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan keadaan semasa serta kesukaran yang dihadapi masyarakat.

Mengambil contoh inisiatif MYJob@Wilayah yang terkandung dalam agenda Wilayah Prihatin, ratusan peluang pekerjaan terbuka luas sekali gus memberi manfaat kepada warga kota yang kehilangan pekerjaan atau diberhentikan kerana pandemik COVID-19.

Ini kerana, sebanyak 500 kekosongan jawatan Pekerja Sambilan Harian (PSH) ditawarkan di pelbagai jabatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang meliputi perkhidmatan, pembinaan, penyelenggaraan, pembersihan, pembuatan dan pembungkusan.

Waima, gelandangan juga berjaya mengubah status kehidupan mereka dan kembali menyertai masyarakat selepas ditawarkan pekerjaan khusus sejurus tamat tempoh pemulihan.

Peluang yang ditawarkan menerusi Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota pun bergerak seiring dengan keperluan yang dikehendaki masa kini.

Menariknya, ia membuka ruang kepada golongan belia untuk melebarkan sayap dalam bidang perniagaan sama ada dalam sektor makanan mahupun kraf atau perkhidmatan.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa semasa mengumumkan inisiatif tersebut pada 7 Julai lalu, kerjasama melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan berterusan sehingga 2023.

Selain itu, bagi teras perumahan pula, peluang pemilikan rumah menerusi MyResidensi@Wilayah membantu golongan asnaf dan ibu tunggal memiliki kediaman sendiri.

Malah sejak dilaksanakan, kira-kira 325 unit telah diberikan kepada penyewa projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) DBKL yang layak.

USAHA LEBIH HOLISTIK

GELANDANGAN diselamatkan dan diberi pekerjaan supaya dapat kembali bersama masyarakat.

Bagi aspek pendidikan, pelaksanaan program MySchoolBus@Wilayah lebih menyeluruh bermula tahun hadapan apabila 141 perumahan kos rendah swasta di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur turut mendapat peluang yang disediakan kerajaan.

Program tersebut sekali gus meringankan beban ibu bapa B40 serta M40 dari aspek pengangkutan anak ke sekolah yang mana perbelanjaan pendidikan dapat digunakan untuk keperluan lain.
Cakna KWP itu dilihat sebagai ‘serampang dua mata’ kerana golongan sasar khususnya murid sekolah dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP) dengan lebih baik pada masa
sama mengelakkan keciciran pendidikan terjadi.

Lebih menarik apabila YWP turut tampil dengan inisiatif Program Bantuan Makanan kepada murid daripada keluarga berpendapatan kurang daripara RM1,000.

Memetik aspek keselamatan dan pengindahan pula, kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di lokasi tumpuan umum untuk memastikan tiada masalah gelandangan dan vandalisme berlaku seterusnya memudahkan pemantauan pihak berkuasa.

Kawasankawasan tumpuan awam juga diindahkan seperti penambahbaikan yang  dilakukan di Taman Tasik Titiwangsa dan Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur serta Taman Victoria, Labuan.

Pendek kata, Wilayah Prihatin yang diusahakan itu berjaya ditafsirkan dalam kehidupan masyarakat kota selain meliputi semua peringkat rakyat.

Pun begitu, fokus inisiatif wajar diteliti bagi mengelakkan individu yang layak tidak tercicir kerana pada masa ini bantuan lebih banyak diberikan kepada penghuni PPR dan PA. Walhal, tidak semua yang menghuni perumahan itu terdiri daripada golongan miskin bandar atau B40 sebaliknya ada antara mereka yang berpendapatan tinggi tetapi memilih tinggal di PPR atau PA disebabkan berhampiran tempat kerja.

Justeru, inisiatif yang diberikan perlu lebih fokus kepada golongan sasar dan bukannya ditumpukan kepada lokasi sekali gus mengelakkan orang yang tidak sepatutnya menerima bantuan kerajaan manakala individu yang layak tercicir berikutan berada di lokasi lain.

CATEGORIES