Personaliti

Shafei puas bantu rakyat

- Diterbit 17 Oktober 2020 10:00 AM MYT

SETELAH kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum ke-14 yang lalu, sosok ini terus menggerakkan aktiviti parti seperti biasa dengan penuh tanggungjawab dan insaf.

Kesempatan itu digunakan oleh Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah untuk memperkukuhkan UMNO demi mengembalikan kepercayaan kepada BN selari dengan aspirasi penubuhan UMNO yang sentiasa menjaga kebajikan dan memperjuangkan nasib rakyat.

“Bertemu dengan orang ramai di kawasan Wangsa Maju, mendengar keluhan dan menyelesaikan masalah mereka merupakan aktiviti yang dilakukan bagi memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Selain itu, saya mengambil peluang tersebut untuk memperkenalkan UMNO dengan lebih sistematik agar orang ramai dapat merasai kehadiran kami di sini,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menceritakan detik awal penglibatannya di dalam UMNO, beliau berkata, segalanya bermula apabila berasa terhutang budi setelah menerima biasiswa tawaran melanjutkan  pelajaran di Universiti Malaya (UM).

“Pada ketika itu, tidak ramai anak-anak melayu yang  berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti, malah ia boleh dibilang dengan jari.

Oleh kerana saya berasal dari keluarga yang susah, tawaran biasiswa melanjutkan pelajaran diterima dengan penuh kesyukuran dan keinsafan serta ia merupakan satu detik untuk saya mengubah diri serta keluarga dan sudah pastinya ia diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu,” katanya yang juga Pengerusi BN Parlimen Wangsa Maju.

Ujar Mohd Shafei, menerusi penglibatan aktifnya dalam politik, beliau berpuas hati apabila dapat membantu orang ramai terutama golongan yang memerlukan bantuan keluar daripada masalah yang dihadapi mereka.

“Sebagai contoh, di dalam kawasan ini, terdapat banyak kawasan perumahan rumah pangsa yang diduduki golongan B40 yang dikaitkan dengan kemiskinan bandar.

“Dan ketika negara menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai dalam kalangan rakyat terjejas dan ia termasuklah di kawasan Wangsa Maju sendiri,” ujarnya.

Tambah Mohd Shafei, beliau telah menggerakkan kesemua pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat cawangan untuk mengenal pasti manamana orang yang terjejas dan memerlukan bantuan.

Menurutnya, sebagai wakil kerajaan persekutuan di dalam kawasan yang mempunyai penduduk yang padat, sudah pasti khidmat mereka ditagih untuk menyalurkan bantuan kepada mereka.

“Bagi mereka, apa yang penting adalah permintaan mereka perlu diambil berat dan dibantu termasuklah hal yang besar melibatkan pemilikan rumah.

“Sebagai contoh, kami telah memohon kepada kerajaan untuk menjual Perumahan Awam Seri Tioman 2 kepada penyewa yang menghuni puluhan tahun di situ kerana Perumahan Awam Seri Tioman 1 telah dijual kepada penyewa di situ.

“Lanjutan dari itu, kerajaan telah membuat keputusan untuk menawarkan unit-unit tersebut dengan harga RM45,000 kepada penduduk dan ia menggembirakan mereka kerana akhirnya memiliki kediaman sendiri dan kini ia bernilai kirakira RM250 ribu,” katanya.

Mohd Shafei berkata, sebagai pemimpin yang mempunyai hubungan langsung dengan kerajaan, beliau perlu melayan pelbagai masalah yang berbentuk peribadi atau kepentingan komuniti.

“Kebanyakkan golongan asnaf dan B40 ini menghuni di kawasan rumah pangsa, kita akan pastikan tiada yang tertinggal untuk menyalurkan bantuan.

Selain itu, kami turut mengusahakan penyelenggaraan rumah-rumah ini dan juga program mengecat bagi tujuan keceriaan agar komuniti dapat hidup dalam suasana yang gembiram,” katanya.

Kata Mohd Shafei, beliau turut merasa syukur kerana pihak Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWPKL) Parlimen Wangsa Maju turut memainkan peranan aktif dalam membantu penduduk.

Kesemua Pengerusi Zon dan Pengerusi Sub Zon adalah jentera parti yang telah terlatih dan sememangnya sudah biasa bekerja di lapangan dalam menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan.

“Setakat ini saya tiada sebarang keraguan ke atas mereka, bahkan mereka banyak membantu dalam memberikan bantuan dan mensejahterakan komuniti di sini selain mereka terlibat secara aktif,” katanya.

Beliau yang juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri ke-7, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyifatkan perjuangan politik di kawasan ibu kota berbeza sama sekali dengan di kawasan desa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas