Selera

Kari kepala ikan salmon mengujakan!

KARI kepala ikan salmon tarikan utama pakej Ladies Buffet. KARI kepala ikan salmon tarikan utama pakej Ladies Buffet.
- Diterbit 12 Oktober 2020 4:30 AM MYT

TIDAK pasti mahu makan apa? Anda perlu cuba kari kepala ikan salmon. Dengar sahaja, sudah buat anda terliur bukan? Ya, kita selalu dengar kari kepala ikan
tenggiri, merah, kerapu atau jenahak.

Namun, jarang sekali kita boleh menikmati kari kepala ikan salmon yang sudah tentunya memikat selera.

Bagi merasai kelazatannya, anda boleh menempah pakej Ladies Buffet di Restoran Selasih yang terletak di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Menurut Chef Hotel Tenera, Sahisal Azrul Mat Said, 45, kari kepala ikan salmon adalah tarikan utama yang ada dalam Ladies Buffet.

“Ketika kaum lelaki ke masjid untuk menunaikan solat fardu Jumaat, biasanya kaum wanita tercari-cari tempat yang sesuai untuk makan.

“Apa kata mari mencuba kari kepala ikan salmon yang jarang ada di tempat lain.

“Kebanyakan orang fikir menu yang melibatkan salmon pastinya mahal dan hanya dihidangkan di lokasi yang eksklusif sahaja.

“Di Hotel Tenera, anda boleh menikmati kari kepala ikan salmon sepuas hati di samping 80 lagi menu tradisional dan barat yang lain,” ujarnya.

Tambahnya lagi, bagi mereka yang baru ingin mencuba, ia sesuatu yang menarik dan tentu tidak akan menyesal.

Selain menu tersebut, terdapat pelbagai lagi hidangan lazat seperti sup gear box, tauhu bakar, nasi beriani kambing, ayam goreng berempah, masakan panas bergoreng, kuih muih serta aneka jenis buah.

KESELAMATAN DIUTAMAKAN

Semenjak negara dilanda pandemik COVID-19, rakyat dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Bagi kami, keselamatan pelanggan paling utama memandangkan kita masih ‘berperang’ dengan virus ini. Untuk itu, kami tidak membenarkan pelanggan mengambil sendiri makanan sebaliknya disediakan oleh staf yang bertugas.

“SOP yang lain juga dititikberatkan seperti memakai pelitup muka, memeriksa suhu badan, daftar nama serta mengguna cecair pembasmi kuman,” ujarnya yang turut mengutamakan penjarakan fizikal.

Jika dahulu, dalam satu masa Restoran Selasih boleh menempatkan 400 orang, kini ia dikurangkan kepada 250 orang pelanggan sahaja.

Sementara itu, bagi yang tidak berkesempatan ke Hotel Tenera, anda boleh masak di rumah menggunakan pes yang ada dijual secara atas talian atau di pasar raya berhampiran.

“Rasanya sama seperti anda makan di hotel dan penyediaannya juga begitu mudah. Selain pes kari, kami juga menjual aneka pes lain seperti nasi ayam, kerutuk, gulai kawah, sambal udang kering dan banyak lagi,” kata Sahisal.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas