Berita

Wilayah Pintar, ibu kota ceria

- Diterbit 31 Januari 2020 9:02 AM MYT

TAHUN 2020 merupakan tempoh masa yang signifikan bagi Kementerian Wilayah Persekutuan.

Tiga program besar berlangsung pada tahun ini selain ia juga merupakan tahun ketiga untuk Menterinya, KHALID ABD. SAMAD untuk mencapai segala agenda utama yang telah digariskan kementeriannya.

Ikuti temubual khas beliau bersama sekumpulan wartawan di pejabatnya di Menara Seri Wilayah, Putrajaya baru-baru ini mengenai hala tuju KWP bagi tahun ini.

TINGKATKAN KECERIAAN, KEBERSIHAN

KHALID: Tahun 2020 merupakan tahun istimewa kerana akan berlangsung beberapa program khas iaitu Tahun Melawat Malaysia 2020. Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak mahu ketinggalan dalam program ini.
Keduanya, Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020. Ini merupakan program Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan kita perlu dijayakannya. Ketiga ialah Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada November ini.
Sempena program-program ini, maka arahan telah dikeluarkan supaya program pembersihan, keceriaan, pengindahan dan pencahayaan dilakukan di Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan itu mengeluarkan iklan untuk menambah jumlah kakitangannya dan pada masa sama akan mengeluarkan iklan tawaran pembersihan kerja bidang G1 dan yang lain dalam aspek pembersihan, keceriaan, pengindahan serta pencahayaan. Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) juga akan melakukan perkara yang sama tetapi mengikut kemampuan mereka.

TUMPUAN PENUHI INISIATIF WILAYAH PEDULI, HARAPAN DIPENUHI

KHALID: KWP akan memberi tumpuan kepada beberapa program yang menepati hala tuju umum ‘Wilayah Peduli, Harapan Dipenuhi’ iaitu mengatasi masalah kemiskinan bandar.
Program mengendalikan miskin bandar atau orang susah di bandar raya akan menjadi fokus utama kementerian pada tahun 2020 ini. Seminar Membasmi Kemiskinan Bandar telah diadakan diadakan di Putrajaya pada hujung 2019.
Pelan Induk atau blueprint tindakan akan dihasilkan antara Jun hingga September 2020 dan perlaksanaan blueprint berkenaan akan mewarnai pendekatan dan program KWP.
KWP juga akan melaksanakan konsep Wilayah Persekutuan sebagai Wilayah Pintar. Ia akan diuruskan di bawah Jawatankuasa Bandaraya Pintar Wilayah Persekutuan yang akan diketuai PLANMalaysia dan dianggotai oleh DBKL, PPj dan PL serta pihak awam dan swasta yang berkepentingan. Jawatankuasa ini juga akan memantau pelaksanaan kemudahan internet berkelajuan tinggi generasi kelima (5G) bagi Wilayah Persekutuan.
KWP juga akan melaksanakan konsep Negara Taman di bawah kepim­pinan Jabatan Landskap Negara (JLN). KWP juga akan ber­usaha untuk melaksanakan konsep ini melalui Majlis Negara Taman yang dipengerusikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan.
Konsep Negara Taman adalah satu konsep yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bagi 2020 kita akan mulakan dan ini akan dilakukan oleh JLN dan kita akan tumpu kepada pengindahan bukan sahaja di Wilayah Persekutuan tetapi seluruh negara.

MUKTAMADKAN MASALAH PERSEMPADANAN KUALA LUMPUR-SELANGOR

KHALID: Persoalan mengenai persempadanan di antara Kuala Lumpur dengan Selangor yang masih belum diselesaikan. Walaupun Kuala Lumpur ini diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan sejak 1974 namun hingga hari ini sempadan Wilayah Persekutuan dan Selangor masih belum selesai secara muktamad dan tuntas secara keseluruhannya.
Pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan telah diberikan tanggungjawab bekerja­sama dengan PTG Selangor untuk menyelesaikan masalah persempadanan untuk dimuktamadkan. Setakat ini masih ada 18 ‘outstanding border problems’ di mana cadangan yang dikemukakan pihak Selangor dan perjanjian persefahaman yang muktamad dapat ditandatangani pada tahun ini.
Antara masalah yang perlu diselesaikan adalah berkaitan dengan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sama ada pihak DBKL atau mana-mana PBT dalam Selangor yang berkait dengan masalah persempadanan ini sehingga menyukarkan penduduk dalam kawasan tersebut.

SETIAP AGENSI KWP MEMPUNYAI AGENDA TERSENDIRI

KHALID: Bagi setiap agensi dan jabatan di bawah KWP, mereka juga mempunyai agenda besar masing-masing untuk tahun ini. Di Kuala Lumpur, DBKL akan memberikan tumpuan kepada program-program antaranya Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040. Ini akan mengukir sejarah kerana tidak pernah pelan struktur Kuala Lumpur dan tempatan ini dimuktamad dan diwartakan bagi membolehkan pembangunan di Kuala Lumpur terkawal kerana pelan induk yang ada telah diwartakan dan perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
Kita laksanakan pada tahun 2018, kami wartakan satu pelan yang dibincang dan dibahas pada 2012, saya wartakan pada tahun 2018 dan sebelum itu kami terpaksa melakukan pindaan sebelum ia diwartakan.
Pada tahun ini, kita akan lakukan dengan betul dan bincang serta bahas dan selesaikan pada penghujung tahun ini. Maka pada tahun 2021 kita akan wartakan pelan KL 2040 dan kita akan buat seperti yang sepatutnya.

SELESAI PROJEK TERBENGKALAI

KHALID: Mengatasi masalah projek terbengkalai dan projek pembangunan semula. Ia merupakan cabaran kepada KWP dan DBKL. Kita beri inisiatif khas kepada pemaju-pemaju yang mana hendak buat pembangunan semula dan menangani masalah projek terbengkalai seperti Plaza Rakyat yang terbengkalai lebih 20 tahun akan diselesaikan dan beberapa projek lagi dalam pemantauan pihak kami.
Projek pembangunan semula pula adalah berhubung dengan flat-flat lama lima tingkat yang berumur 30 hingga 40 tahun, kita hendak beri insentif kepada pemaju untuk dibangunkan namun mereka perlu berunding dengan pemilik dan KWP akan bertindak sebagai fasilitator dalam proses rundingan tersebut.

PUTRAJAYA ANJUR PROGRAM BERTARAF DUNIA

KHALID: Di Putrajaya, kita hendak jadikan bandar yang vibrant, ada 256 program tempatan dan antarabangsa. Kita hendak jadikan Putrajaya sebagai pusat untuk penganjuran program bertaraf dunia.
Untuk tahun ini, kita hendak laksanakan projek monorel yang akan dibantu KWP dan diketuai Kementerian Pengangkutan kerana ia melangkaui Putrajaya dan bersambung dengan laluan Projek Kereta Api Pantai Timur (ECRL). Fasiliti yang ada seperti terowong dan jambatan tergantung itu akan diselesaikan untuk ditender dan hidupkan semula projek monorel.

LABUAN TERIMA PELABURAN LEBIH RM1 BILION

KHALID: Di Labuan, Perbadanan Labuan pula berazam untuk me­mulakan perlaksanaan empat projek besar tahun ini iaitu Nam Cheong Dockyard bernilai RM60 juta, Growball Water and Theme Park (RM200 juta), Mui Chew Mix Developement (RM450 juta) dan Gancang Development yang akan membina kedai dan apartment (RM400 juta). Kita hendak rancakkan kembali ekonomi Labuan dan KWP akan membantu.
Labuan juga telah menyediakan 100 acara untuk menarik pelancong ke pulau itu. Labuan juga berazam untuk menyiapkan perancangan untuk membina Jambatan Labuan-Sabah dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya. Pihak KWP telah bekerjasama dan berunding dengan kerajaan Sabah berhubung perancangan membina jambatan ini dan kita akan memohon permintaan untuk cadangan (RFP) bagi pembinaan jambatan ini. Kita juga telah memuktamadkan di manakah lokasinya dan projek ini perlu diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya kerana ia tidak hanya untuk Labuan.

PROJEK PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU

KHALID: Sementara itu, projek pembangunan Kampung Baru akan diteruskan. Proses libat urus bersama kumpulan kecil akan diteruskan sehingga Jun tahun ini dan selepas itu kita akan umumkan perancangan pembangunan di Kampung Baru. Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) ditugaskan untuk menangani masalah ini sehingga selesai.

MAJLIS PEMBANGUNAN FIZIKAL NEGARA

KHALID: PLANMalaysia ditugaskan untuk menghasilkan panduan dan piawaian jelas berhubung konsep Bandar Pintar 5G untuk Wilayah Persekutuan dan negara secara keseluruhannya. Selain itu, ia juga menentukan pembangunan fizikal negara terkawal dan dibangunkan secara terancang melalui Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN).

JABATAN LANDSKAP NEGARA

KHALID: Semua taman yang dimuktamadkan akan diwartakan dan serah kepada PBT untuk diselenggara kecuali Taman-Taman Persekutuan yang keluasannya kira-kira 250 ekar ke atas itu akan dikekalkan di bawah Jabatan Landskap Negara. Projek ini untuk menghijaukan negara dan menentukan wujudnya taman-taman akan dipantau oleh JLN dengan kerjasama kerajaan negeri.

PELAKSANAAN CUKAI PETAK DITERIMA BAIK

KHALID: Pejabat Tanah dan Galian, soal cukai petak telah dilaksanakan (1 Januari 2020). Sebelum ini ada orang andaikan berlaku bantahan tetapi terbukti ia tidak berlaku. Sebaliknya semua orang dapat menerima kerana kadar yang perlu dibayar amat berpatutan. Kalau rumah kos rendah, bayarannya rendah. Sebagai contoh ada yang hanya perlu bayar RM5 setahun dan kita hanya naikkan kadar untuk pembangunan komersial.

MAJLIS SUKAN WILAYAH PERSEKUTUAN (MSWP)

KHALID: MSWP ada banyak perubahan yang dilakukan walaupun bajet diberi oleh Kementerian Belia dan Sukan. MSWP telah menganjurkan Sukan Antara Parlimen untuk mencungkil bakat di akar umbi dari peringkat sekolah.
Melalui pengurusan semasa, Labuan turut mendapat layanan yang baik dan mereka turut manfaat. Kita harap Sukan Malaysia (Sukma) di Johor nanti kita akan dapat keputusan yang lebih baik dan ada banyak program dalam kalangan belia.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas