Berita

Hari Wilayah untuk perpaduan

ORANG ramai yang hadir pada kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Dataran DBKL baru-baru ini
- Diterbit 31 Januari 2020 7:58 AM MYT

Sabtu ini, 1 Februari, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menyambut Hari Wilayah Persekutuan. Bendera-bendera Wilayah Persekutuan sudah dikibarkan di merata-rata tempat.

Bendera berwarna merah, kuning dan biru dengan jata negara terletak di tengah-tengahnya yang berkibar itu adalah panji-panji Wilayah Persekutuan. Tiga bintang itu mewakili Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Walaupun cuti umum 1 Februari itu untuk tiga wilayah berkenaan tetapi hari yang diraikan ini adalah bermakna bagi seluruh rakyat Malaysia, tidak kira di mana mereka berada.

Ini kerana Wilayah Persekutuan bukanlah sebuah negeri walaupun ia diwakili dalam Jalur Gemilang. Setiap satu wilayah itu juga, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bukanlah negeri-negeri seperti 13 negeri Persekutuan Malaysia.

Tetapi ketiga-tiga wilayah itu adalah Wilayah Persekutuan yang dimiliki oleh kesemua 13 negeri dalam negara ini. Maka Hari Wilayah Persekutuan adalah bermakna bagi kesemua negeri di Malaysia. Wilayah Persekutuan bukan sebuah negeri dapat dilihat bahawa ia tidak mempunyai ketua kerajaan.

Kalau negeri-negeri mempunyai Menteri Besar dan Ketua Menteri, Wilayah Persekutuan terletak pada tanggungjawab seorang menteri yang menjadi anggota kabinet pimpinan ketua kerajaan persekutuan iaitu Perdana Menteri.

Maka Wilayah Persekutuan juga membawa makna perpaduan bagi negara selaras dengan cogan kata persekutuan, Bersekutu Bertambah Mutu. Ini kerana sebelum adanya Wilayah Persekutuan, tidak ada tanah yang dimiliki oleh semua negeri secara bersama.

Kedaulatan negeri meliputi semua tanah masing-masing dan tiada yang dikongsi. Malah ibu kota Persekutuan juga terletak dalam negeri Selangor.

Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974. Sebelum tahun itu, tarikh 1 Februari disambut sebagai Hari Bandar Raya iaitu sejak 1972 apabila kota itu mencapai taraf bandar raya.

Penyatuan

Apabila menjadi Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur sudah tidak lagi sebahagian daripada Selangor semata-mata. Kota ini telah menjadi titik penyatu bagi kesemua entiti politik itu.

Perpaduan bagi Malaysia adalah kunci kepada negara. Bukan saja antara kaum tetapi juga negeri-negeri yang menyertai Persekutuan Malaysia. Cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu mengungkap gagasan ini.

Pada masa ini, Persekutuan ini sudah diterima dengan padu. Hanya ada segelintir orang tertentu di Sarawak dan Sabah yang membayangkan sentimen penolakan Persekutuan.

Umumnya gagasan Persekutuan Malaysia ini sudah disepakati. Tetapi ketika Persekutuan ini ditubuhkan, ia bukan suatu yang mantap dan padu. Sebab itulah perlunya cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu dimaktubkan dalam jata negara.
Walaupun cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu disama ertikan dengan Unity is Strength yang mana kedua-duanya diabadikan pada jata negara, secara literalnya ia berbeza maksud.

Dokongan terhadap gagasan Persekutuan ini adalah penting. Ini kerana sebelum menjadi British Malaya, Semenanjung mempunyai banyak negeri yang berasingan. Oleh kerana tidak bersatu, maka ia menjadi lemah.

Asasnya di Semenanjung, terdapat negara-negara berdaulat diketuai oleh sultan iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak dan Johor. Kemudian dari Kedah muncul Perlis. Dari Perak muncullah Selangor, Johor pula memunculkan Pahang.

“Perpaduan bagi Malaysia adalah kunci kepada negara. Bukan saja antara kaum tetapi juga negerinegeri yang menyertai Persekutuan Malaysia. Cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu mengungkap gagasan inI.

Portugis pula menguasai Melaka. Sembilan negeri Minang kemudian menjadi Negeri Sembilan. Kemudian Belanda mengambil alih Melaka daripada Portugis. Apabila British datang, ia mengambil alih Pulau Pinang, Seberang Perai, Dinding, Melaka dan Singapura.

British menyatukan wilayah-wilayah yang dikuasainya menjadi Straits Settlements. Semenanjung yang kecil ini berpecah-pecah.

Mengikut usaha penyatuan di India melalui persidangan Durbar, British juga melaksanakan gagasan ini bagi Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.
Persidangan Durbar diadakan di Kuala Kangsar dan Kuala Lumpur. Durbar kemudiannya menjadi Majlis Raja-raja dan ditubuhkan Federated Malay States atau Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan beribukotakan Kuala Lumpur. Konsep Bersekutu atau Federated inilah yang menjadi asas Persekutuan atau Federation.

Apabila Malayan Union ditubuhkan dengan menyatukan semua negeri di Tanah Melayu, Kuala Lumpur juga dijadikan ibu negeri.

Penentangan terhadap Malayan Union meliputi tuntutan supaya kedaulatan negeri-negeri dipulihkan.

Maka dari sini Federated Malay States dipulihkan dan diperluaskan untuk menjadi Persekutuan Tanah Melayu atau Federation of Malaya. Pada mulanya ada juga penentangan terhadap gagasan Persekutuan ini.

Ada pihak Pulau Pinang yang menolak untuk menyertai Persekutuan. Tetapi pada tahun 1948, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dengan Kuala Lumpur sebagai ibu negeri.

Persekutuan ini meluaskan jata negara Federated Malay States dan meletakkan Unity is Strength dan Bersekutu Bertambah Mutu sebagai cogan kata.

Persekutuan Tanah Melayu diperluaskan untuk menjadi Persekutuan Malaysia tetapi cogan kata itu kekal. Singapura kemudian keluar dari Persekutuan. Tetapi bendera Persekutuan Malaysia kekal 14 jalur.

Dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan, ia mengikat semua negeri pada suatu wilayah milik bersama.

Bendera Kuala Lumpur mencerminkan semangat Persekutuan. Ia turut memiliki 14 jalur seperti bendera kebangsaan atau Persekutuan walaupun bereka bentuk berbeza.

Namun ia mencerminkan pengukuhan Kuala Lumpur sebagai kota Persekutuan.
Labuan yang pada mulanya adalah sebahagian daripada Sabah telah juga dijadikan Wilayah Persekutuan.

Ia menambah komitmen negeri-negeri untuk mengukuhkan Persekutuan dengan turut menggabungkan Semenanjung Malaysia dan Sarawak-Sabah. Bendera Labuan mempunyai bintang berbucu 14 yang melambangkan bahawa ia adalah wilayah milik semua negeri.

Apabila Kuala Lumpur dirasakan padat, maka lahirlah Putrajaya dari tanah Selangor untuk dijadikan Wilayah Persekutuan.

Pembinaan Putrajaya meletakkan pentadbiran kerajaan lebih bermutu untuk kemudahan semua negeri Persekutuan Malaysia. Putrajaya pula meletakkan jata negara pada benderanya menunjukkan ia merupakan pusat pentadbiran bagi Persekutuan.

Sesungguhnya Wilayah Persekutuan mengungkap azam rakyat negara ini dari pelbagai negeri untuk bersekutu kerana perpaduan adalah kekuatan.

Tidak kira dari kampung halaman mana dari seluruh negara, perpaduan dan semangat kebersamaan akan membawa kehidupan lebih makmur untuk generasi akan datang.

Zin Mahmud merupakan wartawan veteran yang telah berkhidmat lebih 30 tahun dalam industri persuratkhabaran, majalah dan buku. Pernah menjadi Pengarang Mingguan Malaysia, Pengarang Kumpulan Harakah dan Pengarang Berita Harian Watan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas