Berita

Wilayah Persekutuan sasar muncul juara SUKMA 2020

Wan Ahmad Uzir
KETUA Kontinjen Wilayah Persekutuan SUKMA 2020, Wan Ahmad Uzir (depan tiga dari kanan) bersama pengurus pasukan yang dilantik selepas menyampaikan watikah pelantikan pengurus Kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA 2020 di Dewan Serbaguna Kementerian Wilayah Persekutuan.
- Diterbit 3 Februari 2020 8:18 AM MYT

PUTRAJAYA – Kontinjen Wilayah Persekutuan meletakkan sasaran untuk muncul juara pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang akan berlangsung di Johor pada 11-19 Julai depan.

Ketua Kontinjen Wilayah Persekutuan SUKMA 2020, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, matlamat sasaran tersebut tidak mustahil untuk dicapai memandangkan pada SUKMA Perak 2018, Wilayah Persekutuan berada pada kedudukan kedua terbaik.

“Saya menyahut sepenuhnya cabaran Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad yang mahu Wilayah Persekutuan menjadi juara pada edisi kali ini.

“Jika diikutkan pada edisi lalu, kita sentiasa berada di tempat pertama namun ketinggalan pada saat akhir dengan Terengganu dari segi beberapa jenis sukan yang memberi kelebihan kepada negeri tersebut,” ujar beliau.

Wan Ahmad Uzir yang juga Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan berkata, pelbagai persediaan atlet Wilayah Persekutuan sedang dilakukan antaranya melalui program Golden Sport Collaboration (GSC).

“Atlet-atlet diberi peluang berlatih dan menyertai kejohanan dalam dan luar negara sebagai pendedahan dalam menghadapi SUKMA 2020,” kata beliau selepas majlis penyerahan watikah pelantikan Pengurus Sukan Kontinjen Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Mengulas tentang pelantikan beliau sebagai ketua kontinjen, Wan Ahmad Uzir menjelaskan, komitmen semua pihak yang dilantik sebagai Pengurus Sukan Kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA 2020 penting dalam pembentukan sebuah pasukan yang mantap.

Pada majlis penyerahan watikah tersebut, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio Ekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Ibrahim Yusoff dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen I Wilayah Persekutuan dan Naib Presiden (Perkhidmatan Korporat) Perbadanan Putrajaya, Kamaruddin Dolmat sebagai Timbalan Ketua Kontinjen II Wilayah Persekutuan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen III Wilayah Persekutuan; Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri sebagai Pengarah Operasi Wilayah Persekutuan dan Timbalan Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Mazhan Mujail dilantik sebagai Timbalan Pengarah Operasi Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas