Berita

H5N1: Jangan risau! Malaysia tidak import dari Shaoyang, China

ORANG ramai dinasihatkan supaya sentiasa memakai topeng muka untuk mengelakkan penyebaran wabak dan virus.
- Diterbit 3 Februari 2020 8:59 AM MYT

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menegaskan, Malaysia tidak mengimport haiwan hidup dan produk dari bandar Shaoyang, wilayah Hunan, China.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, walaupun tidak melakukan sebarang pengimportan namun Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan sentiasa memantau keadaan dan berhubung dengan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) untuk mengetahui status kedudukan sebenar dari masa ke semasa.

Jelas beliau, Malaysia mengimport keratan ayam daripada loji pemprosesan ayam yang berada kira-kira 1,313 kilometer daripada tempat kejadian iaitu di Liaocheng, Shangdong.

“Jabatan sentiasa mengambil sampel keratan ayam yang dibawa masuk untuk diuji bagi penyakit H5N1 dan setakat ini tiada sampel yang positif.

“Langkah berjaga-jaga akan ditingkatkan dan sampel akan diambil daripada setiap kosainmen untuk diuji,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Sabtu lalu, agensi media antarabangsa, Reuters melaporkan, Menteri Pertanian pihak berkuasa China mengambil tindakan untuk mengawal penyakit H5N1 yang berlaku di sebuah ladang di bandar Shaoyang di daerah selatan Hunan.

Menurut laporan itu juga, kes selesema burung berkenaan mengakibatkan 4,500 daripada 7,800 ayam mati. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas