Berita

Wetland Studios Putrajaya kini dibuka, tawar harga promosi sehingga September

NORMAN (kiri) ketika Majlis Prapelancaran baru-baru ini.
- Diterbit 2 Jun 2023 5:17 AM MYT

SEMPENA cuti persekolahan yang bermula 27 Mei lalu, orang ramai boleh mengunjungi taman tema berkonsepkan ‘edutainment’, Wetland Studios Putrajaya yang merupakan tarikan terbaharu di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan ini.

Terletak di Taman Wetland Putrajaya, taman tema didik hibur dalaman berhawa dingin berteraskan teknologi itu menawarkan tarikan dan kandungan bertemakan pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan hidupan liar.

Menurut Presiden Wetland Studios, Datuk Norman Abdul Halim, projek yang dibangunkan hasil kerjasama antara pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) dan KRU Studios Sdn Bhd tersebut bertujuan menonjolkan peranan Taman Wetland Putrajaya kepada masyarakat setempat dengan keindahan flora dan faunanya.

“Pengunjung akan menempuhi satu pengalaman unik dan berbeza jika dibandingkan dengan taman-taman tema sedia ada kerana taman berkonsepkan edutainment ini akan menyajikan pelbagai jenis informasi dan pengetahuan berkenaan sejarah bumi, peranan penting air serta ekosistem pelbagai hidupan seperti mamalia, reptilia, amfibia, ikan, serangga, pokok, bunga dan lain-lain.

“Pengalaman Immersive Reality di Wetland Studios Putrajaya merangkumi aset fizikal seperti animatronik, replika dan hiasan berkonsepkan alam semula jadi; teknologi seperti hologram, Augmented Reality (AR) serta Virtual Reality (VR) dan juga kandungan digital yang menampilkan pelbagai watak animasi termasuk Zan Orangutan (filem animasi terbitan KRU dan Astro Shaw yang bakal menemui penonton pada tahun 2024) dan KiKaKo Kids yang kini di dalam proses penerbitan sebagai siri televisyen,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Prapelancaran Wetland Studios baru-baru ini.

ORANG utan antara replika haiwan yang terdapat di Wetland Studios Putrajaya.

Bagi fasa pertama, 12 ruangan kini dibuka iaitu Insectopia, Dinosaur Encounter, Stegodon Big Break, Caventure, Jungle Jive, Sky Sanctuary, Flamingo Parade, Sky Dreams VR, Artopia, Aviary Archive, EduPlay Centre dan Migration in Motion.

Wetland Studios Putrajaya bakal dilancarkan secara rasminya bermula September depan dengan pembukaan kesemua 15 ruangan termasuk tarikan tambahan panorama, Lakes & Rivers dan Majestic Ocean.

Dalam pada itu, sepanjang tempoh prapelancaran ini, Norman memaklumkan Wetland Studios Putrajaya menawarkan harga istimewa kepada para pengunjung.

“Buat warganegara Malaysia, RM25 bagi dewasa (13 hingga 64 tahun), RM15 bagi warga emas (65 tahun ke atas), RM15 bagi kanak-kanak (empat hingga 12 tahun), RM12 bagi Orang Kurang Upaya (OKU) dan percuma bagi kanak-kanak di bawah umur tiga tahun.

“Untuk warga asing pula, RM40 bagi dewasa (13 hingga 64 tahun), RM20 bagi warga emas (65 tahun ke atas), RM20 bagi kanak-kanak (4 hingga 12 tahun), RM16 bagi OKU dan percuma bagi kanak-kanak di bawah umur tiga tahun.

“Sememangnya kami menawarkan harga tiket serendah mungkin agar pengalaman di Wetland Studios Putrajaya dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat khususnya yang datang bersama keluarga. Kami berharap agar pengalaman ini akan memberikan maklumat berharga untuk orang ramai menjaga alam sekitar dan pada masa yang sama merakamkan memori indah dengan orang-orang yang tersayang,” tambah beliau.

Wetland Studios Putrajaya beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 7 petang, setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas