Berita

LRC @ Taman Botani tarikan baharu di Putrajaya

FADLUN (tiga kanan) ketika merasmikan LRC @ Taman Botani Putrajaya pada Sabtu lalu.
- Diterbit 2 Jun 2023 5:01 AM MYT

SETELAH sekian lama sepi tanpa sebarang aktiviti, Taman Botani, Putrajaya kini tampil berwajah baharu dengan penambahan elemen Pusat Rekreasi Air (LRC) buat para pengunjung.

Menurut Pengarah Urusannya, Mohd Nor Arif Mohd Azmi, pembukaan aktiviti air di kawasan sekitar mampu memberi nafas baharu buat Taman Botani serta menarik lebih ramai pengunjung dari dalam mahupun luar negara.

“Kita mula buka kepada orang ramai bermula 5 Mei 2023 dan Majlis Prapelancaran telah diadakan pada 27 Mei lalu di mana ia telah dihadiri oleh Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.

“Sejak ia dibuka, sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutama pada hujung minggu dan diharapkan pada musim cuti sekolah ini kita akan menerima jumlah pengunjung yang lebih ramai,” katanya ketika ditemui Wilayahku selepas Majlis Prapelancaran LRC @ Taman Botani Putrajaya baru-baru ini.

Berkongsi mengenai penambahbaikan LRC @ Taman Botani, Arif berkata di peringkat fasa 1 iaitu bermula Mei sehingga Ogos 2023 ini hanya aktiviti paddle boat sahaja disediakan memandangkan kawasan yang dibenarkan juga agak terhad.

“Kita mempunyai perancangan untuk besarkan kawasan aktiviti dan ketika itu lebih banyak aktiviti boleh dibawa masuk seperti stand up paddle, kayak dan sebagainya. Catch and Release Fishing juga mungkin akan dibenarkan di Taman Botani namun itu semua masih dalam perancangan dan akan dilaksanakan selepas bulan Ogos tahun ini.

“Untuk aktiviti paddle boat di LRC @ Taman Botani kita menawarkan harga serendah RM15 (30 minit) pada hari biasa manakala hujung minggu dengan harga RM20 bagi 30 minit,” jelasnya LRC @ Taman Botani ini membawa konsep Green Sustainable di mana tiada kenderaan bermotor bagi aktiviti air.

Tambahnya lagi, LRC @ Taman Botani Putrajaya ini adalah bagi memberi pilihan baru buat pengunjung di Putrajaya selain Taman Wetland, Pusat Rekreasi Air, Glamping@Wetland, Taman Saujana dan lain-lain tempat yang menjadi lokasi tarikan pelancong.

“Kita mahu pelbagaikan pilihan untuk pengunjung. LRC @ Taman Botani merupakan produk pelancongan baharu di mana selain menikmati keindahan taman, flora dan faunanya orang ramai juga boleh melakukan aktiviti lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Arif yang juga merupakan pengurus Glamping@ Wetland Putrajaya berkata pusat rekreasi tersebut turut akan ditambah baik bagi peringkat fasa 3 yang juga peringkat terakhir.

“Di glamping kini mempunyai 25 unit khemah dan bermula bulan Jun 2023, kita akan melakukan penambahbaikan seperti tree house, flying fox, caravan park dan oasis pool sepanjang 400 meter yang juga terpanjang di Lembah Klang,” katanya proses tersebut dijangka siap pada Februari 2024.

Arif turut berharap dan mengajak warga Putrajaya mahupun luar untuk berkunjung ke tiga lokasi rekreasi di bawah kelolaannya iaitu Pusat Rekreasi Air, Glamping @ Wetland Putrajaya serta yang terbaru LRC @ Taman Botani.

“Kami menawarkan pelbagai aktiviti dengan harga yang marhaen di mana kami mahu semua orang boleh beraktiviti dengan harga berbaloi. Tak murah dan tak mahal,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas