Berita

YWP ambil berat, perinci laporan penyumbang Tabung Kebajikan Dan Pelajaran

ABDUL RAHMAN (kanan) dan Anwar (tengah) menyerahkan replika cek kepada salah seorang penyumbang Tabung Kebajikan Dan Pelajaran YWP, Syarikat First Pavilion Technology Sdn Bhd.
- Diterbit 2 Jun 2023 5:31 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) sentiasa peka dengan setiap wang sumbangan penyumbang ke dalam Tabung Kebajikan Dan Pelajaran YWP.

Menurut Pengarah Eksekutifnya, Abdul Rahman Siraj, YWP telah mengamalkan pemberian laporan kepada para penyumbang yang bernilai besar sekurang-kurangnya RM50,000 sejak sekian lama manakala penyumbang bernilai lebih kecil pula, laporan dibuat melalui aktiviti bergambar di media sosial YWP.

“Namun selaras arahan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merangkap Pengerusi YWP, maka kita akan memperincikan laporan kepada penyumbang agar mereka kekal berpuas hati,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Anwar dalam ucapannya sempena pelancaran Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP agar semua yayasan dan badan amal perlu menyediakan laporan dan penyata kepada penderma bagi memastikan ketelusan selain meningkatkan keyakinan pihak penyumbang.

“Di pihak YWP, kami turut membawa penyumbang turun padang terlibat sama ketika sesi penyerahan sumbangan agar mereka dapat menyelami situasi rakyat yang dalam kesusahan,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Terdahulu, seramai 21 penyumbang dari pelbagai agensi kerajaan dan badan korporat bermurah hati memberi sumbangan kepada Tabung Kebajikan Dan Pelajaran YWP dalam satu majlis pelancaran yang diadakan di Dewan Melati, Perbadanan Putrajaya (PPj) semalam.

Antara syarikat korporat yang menyumbang adalah Tahap Warisan Sdn Bhd, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Yayasan Petronas.

Turut hadir pada Majlis Pelancaran Tabung tersebut, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj; Pengerusi YWP Media Sdn Bhd, Datuk Afdlin Shauki; Pengerusi Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP), Datuk Rizalman Mokhtar dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.

Sebagai rekod, sepanjang lima tahun kebelakangan ini, YWP yang telah ditubuhkan sejak 37 tahun lalu telah membelanjakan hampir semua tabungan mencecah lebih RM100 juta melalui pelbagai bentuk program-program kebajikan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas