Berita

Wetland Putrajaya kaya sumber makanan dan selamat untuk habitat burung

- Diterbit 10 Mei 2024 11:35 AM MYT

WETLAND Putrajaya yang mempunyai keluasan seluas 200 hektar merupakan antara komponen penting dalam pembangunan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Alam Sekitar, Tasik & Wetland Perbadanan Putrajaya (PPj), Normaliza Noordin, selain berfungsi untuk membersihkan kotoran air di Tasik Putrajaya, wetland juga berperanan penting dalam memastikan pencapaian ekosistem perbandaran yang seimbang dengan menambah baik kepelbagaian hidupan akuatik, serangga serta burung.

“Sel wetland Upper Bisa (UB) yang berkeluasan 23.6 ha di Presint 16 direka bentuk dengan binaan pulau-pulau kecil kini menjadi habitat penting burung-burung liar spesies bangau dan pucong.

“Meskipun lokasinya terletak di tengah pusat bandar yang dikelilingi blok pejabat kerajaan, bangunan komersial pusat membeli-belah Alamanda, Hotel Everly serta kawasan perumahan, lokasi ini tetap menjadi pilihan burung-burung air untuk mendiami, bersarang dan bertelur. Bilangannya juga bertambah semasa musim bertelur.

“Dalam kes-kes tertentu, terdapat juga spesies burung air yang bersarang dan membiak di kawasan UB sepanjang tahun antaranya Pucong Serandau (Purple Heron), Pucong Seriap (Gray Heron) dan Pucong Kuak (Black-Crowned Night Heron),” ujar beliau.

Normaliza berkata faktor utama yang dikenal pasti adalah kerana ekosistem yang sesuai kaya dengan sumber makanan dan persekitarannya yang selamat daripada ancaman pemangsa serta gangguan minima daripada manusia.

“Burung Pucong Kuak mendominasi pulau-pulau ini dengan bilangan sekitar 300 ekor. Diperhatikan juga berlakunya penetasan tiga ekor anak Pucong Serandau dalam satu sarang (biasanya seekor atau dua ekor sahaja) dan kesemuanya berjaya dibesarkan dengan baik.

“Dalam masa sama, spesies burung lain diperhatikan turut membiak secara bermusim dari Mac hingga Ogos iaitu Burung Botak Padi (Painted Stork) dan Bangau Kendi (Cattle Egret),” ujarnya.

Tambah Normaliza, pada musim kedatangan burung-burung hijrah dari hemisfera utara, kepadatan burung melampaui 700 ekor pada satu-satu masa.

“Sepanjang tahun 2023, sebanyak 150 ekor Burung Botak Padi induk dan anak ditemui di sini semasa musim bertelur. 70 ekor daripadanya merupakan anak-anak Burung Botak Padi yang menetas manakala spesies Bangau Kendi pula mencatatkan jumlah sehingga 90 ekor dengan lebih 30 ekor anak-anaknya berjaya menetas dan membesar dengan jayanya.

“Selain itu, spesies burung Botak Padi atau Upeh Sawah (Painted Stork) yang pernah dikategorikan sebagai spesies hampir terancam dalam Senarai Merah Haiwan Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (International Union for Conservation of Nature Red List of Threatened Species) masih menjadikan Tasik dan Wetland sebagai habitatnya sejak tahun 2009,” ujarnya.

Di samping itu, Normaliza berkata telur Burung Botak Padi dan Bangau Kendi akan mengambil masa selama 20 hingga 30 hari untuk dieram sebelum menetas.

“Setelah menetas, anak-anak burung ini akan dijaga oleh induk selama 50 hingga 60 hari sebelum mereka mula berdikari. Pada ketika ini, musim bertelur di UB baru sahaja bermula. Sehingga April 2024, sebanyak 95 ekor Burung Botak Padi dan 67 ekor Bangau Kendi telah direkodkan hadir. Pemerhatian akan diteruskan sehingga Disember bagi tujuan pengumpulan data bagi tahun 2024.

“Terdapat juga beberapa spesies burung hijrah yang singgah semasa musim hijrah pada bulan November hingga Februari antaranya Burung Sambar Dusun (Asian Brown Flycatcher), Burung Perling Belakang Ungu (Daurian Starling), Burung Pekaka Cit-Cit Kecil (Common Kingfisher), Burung Tirjup Padang (Brown Shrike), Lang Sawah (Japanese Sparrowhawk) dan Bangau Kerbau (Intermediate Egret).

“Selain itu, spesies burung Ruak-Ruak (White-breasted Waterhen), Punai Gading (Pink-necked Green Pigeon), Tekukur (Spotted Dove), Merbok (Peaceful Dove), Pekaka Dada Putih (White-throated Kingfisher), Burung Kunyit Besar (Blacked-naped Oriole), Murai Kampung (Oriental-magpie Robin), Murai Gila (Pied Fantail), Tiong Jambul (Javan Myna) dan Kelicap Mayang Kelapa (Brown-throated Sunbird) juga merupakan sebahagian daripada lebih 50 spesies yang ditemui di sini,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas