Artikel

Warga kota lemas dalam jerebu

BANGUNAN Perdana Putra. - Gambar hiasan
- Diterbit 26 September 2019 9:42 AM MYT

Sehingga tulisan ini dibuat, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dilanda jerebu. Bacaan IPU masih tidak dikira sihat kerana mencecah lebih 100 unit. Nasihatnya adalah serupa, kurangkan berada di luar bangunan, gunakan penutup mulut N95 dan usah menambah keadaan buruk dengan melakukan pembakaran terbuka.

Namun banyak warga kota tidak mempedulikannya. Ketika penulis menyusur Jalan Kampung Bandar, Kuala Lumpur, Sabtu lalu, dapat dilihat seorang warga kota melakukan pembakaran terbuka di halaman rumah. Daun-daun kering pokok dibakar dengan kelihatan api marak dan asap berkepul.

Ketika itu bacaan IPU di Batu Muda ialah 157. Kawasan Batu Muda terletak dalam Kuala Lumpur walaupun ia berada di pinggirannya. Tempat bacaan IPU di Wilayah Persekutuan yang lain adalah Cheras, Putrajaya dan Labuan. Hanya di Labuan, bacaan udaranya sihat.

Orang masih banyak berada di luar bangunan. Bukan saja kedai-kedai mamak tetap ramai dengan pelanggan malah mereka tidak keberatan duduk di kerusi-kerusi di luar kedai. Mereka juga merokok. Ada juga yang melakukan acara agama melibatkan pembakaran setanggi.

Tidak banyak orang menggunakan penutup pelindung hidung dan mulut. Kalau adapun, mereka tidak menggunakan penutup yang betul. Mereka hanya menggunakan topeng pembedahan yang menghalang kuman masuk atau keluar. Tidak diketahui berapa ramai yang perlu ke klinik atau ke hospital untuk mendapatkan rawatan kesan yang berkaitan jerebu.

Apapun jerebu amat menyusahkan kehidupan warga kota. Ada sekolah di Wilayah Persekutuan ditutup termasuk sekolah internasional.

Sehingga tulisan ini dibuat, adalah tidak diketahui punca dan bagaimana ia dapat diatasi. Atau bagaimana ia dapat dijangka atau dihalang.

Apa yang diketahui ialah pem­bakaran hutan telah berlaku di banyak tempat, di pulau Kalimantan ter­masuk Sarawak dan Sumatera.

Ia adalah kerana cuaca kering dan menjadikan waktu ini adalah musim hutan terbakar dan hutan dibakar. Hutan dibakar kerana hendak dilakukan pembersihan untuk dibuat ladang. Pembakaran untuk membuat ladang dilakukan orang perseorangan, syarikat kecil atau syarikat besar. Itu andai­an tetapi siasatan perlu dilakukan untuk mengetahui punca sebenar.

Dengan spontan apabila berlaku jerebu, pastinya pihak di Malaysia menyatakannya ia berpunca dari Indonesia. Ia sudah berulangkali berlaku dalam 20 tahun dan puncanya adalah dari negara itu.

Selalunya dari Sumatera dan Kalimantan. Jerebu yang melanda Kuala Lumpur dan Putrajaya tentu­nya disangka datang dari Sumatera. Pulau Sumatera dan Semenanjung Malaysia adalah satu benua yang hanya terpisah kerana adanya Selat Melaka. Ia lebih hampir berbanding dengan Kalimantan. Namun tentunya Kalimantan dan Sarawak serta Sabah berkongsi pulau.

Jika berlaku kebakaran hutan, ia boleh melanda Sarawak. Bacaan IPU di Seri Aman, Sarawak adalah ­paling­ buruk. Gejala jerebu menuntut penduduk Malaysia dan Singapura melihat geografi.

Negara-negara Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei bukannya berjiran tetapi merupakan satu tanah air, iaitu berkongsi tanah dan air, malah udara.

Maka sebagai membalas kenyataan pihak Indonesia, maka menteri Malaysia menunjukkan titik panas punca kebakaran di Asia Tenggara.

Tetapi apa yang berlaku di Sarawak adalah kecil berbanding di Kalimantan dan Sumatera. Jika hutan ter­bakar itu di Sarawak saja, maka keadaan tidaklah seteruk seperti yang ada. Jadi, punca utama dan besar tetap dari indonesia.

Bencana

Dalam menghadapi kebakaran hutan ini, keutamaannya adalah meng­halang ia terus merebak di samping memadamkan kemarakan api yang ada. Kerja ini amat sukar hingga boleh ke sampai tahap mustahil. Ini kerana kawasan kebakaran ini amat luas untuk dibendung. Begitu juga batas-batas di mana api itu merebak.

Andai kata ketika api itu masih kecil, maka usaha membendungnya akan lebih mudah. Maknanya jika ada mekanisma canggih yang mana dapat dikesan sebarang kebakaran kecil, maka tindakan segera dapat menghalang api menjadi besar.

Tetapi usaha-usaha menghalang kesan yang lebih buruk daripada bencana bukanlah sesuatu yang mudah. Indonesia merupakan negara yang tidak asing daripada bencana. Ia menghadapi ancaman gempa bumi, letupan gunung berapi dan tsunami. Tetapi sebarang mekanisma me­ngurangkan kesan bencana adalah terhad juga.

Jerebu yang dihadapi di Kuala Lumpur dan Putrajaya walaupun tidak sihat tetapi tidaklah seteruk seperti mana yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di beberapa tempat di Sumatera dan Kalimantan. Mereka pula tidak boleh lari ke ­mana-mana. Mereka perlu meng­harungi suasana itu dan berdoa supaya ke­semua ke­susahan ini akan berakhir.

Pihak Indonesia kemudian pula mengeluarkan kenyataan bahawa empat syarikat milik Malaysia terlibat dengan kerja-kerja meluaskan tanah peladangan yang membawa kepada kebakaran hutan itu.

Ada syarikat-syarikat itu kemudian disita supaya mereka dihalang daripada melakukan pembakaran dan peluasan ladang mereka. Tetapi ada syarikat itu menyatakan bahawa kebakaran itu tidak berlaku di kawasan mereka, sebaliknya ia berlaku di luar kawasan mereka walaupun berdekatan.

Kemudian ada seorang menteri Malaysia menyatakan bahawa syarikat-syarikat ladang sawit itu terikat dengan persetujuan kemapanan alam sekitar.

Adalah sukar untuk mereka melanggar persetujuan itu kerana reputasi mereka dan negara juga berkait dengan komitmen kemapanan itu. Untuk mengetahui apa yang sebenar berlaku perlulah siasatan yang adil. Maka akhirnya tidak dapat dipastikan apakah punca dan apa yang perlu dilakukan untuk menghentikannya dan menghalang ia berlaku semula pada masa akan datang.

Beberapa minggu sebelum itu berlaku gejala jerebu ini, keluar laporan yang menunjukkan hutan hujan di Amazon, Brazil, Amerika Selatan me­ngalami kebakaran dahsyat. Kemudian muncul laporan kebakaran di Congo, Afrika.

Ketiga-tiga kawasan ini, Amazon, Congo dan Borneo adalah paru-paru bumi. Walaupun kebakaran ini di­katakan alamiah kerana musim kering tetapi adalah disyaki ia juga hasil daripada usaha komersial hendak me­ngaut keuntungan. Manusia terutama di negara-negara tidak maju perlukan pertumbuhan ekonomi. Malaysia dan Indonesia juga meraih keuntungan daripada industri sawit.

Akhir sekali perlu juga kaedah kemapanan untuk selamatkan bumi dan manusia. Jerebu adalah simptom parah tidak sihat bumi. Jika manusia tidak mengubah gaya hidup, ibu kota ini akan dari masa ke masa lemas dalam jerebu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas