Artikel

Konsumerisme tanpa kira kaum

Gambar hiasan
- Diterbit 20 September 2019 2:17 AM MYT

SEJAUH mana kempen Buy Muslim First (BMF) yang dilancarkan pihak tertentu baru-baru ini memberikan kesan dalam meningkatkan ekonomi masyarakat Islam masih menjadi tanda tanya.

Ini kerana naratif yang telah ber­bulan-bulan berligar di dalam laman media sosial dipenuhi dengan seruan memboikot bara­ngan peniaga bukan Islam. Kini naratif itu te­lah bertukar dan mereka menafikan berlaku boikot.

Malah pada mulanya kempen tersebut disedari lebih cenderung bermotifkan politik. Namun dengan menggunakan nuansa Islam biasanya ia bakal menarik perhatian banyak pihak.

Semua pihak boleh menerima betapa pentingnya kerjasama dan sokongan semasa muslim untuk mereka maju dalam bidang ekonomi yang pada masa ini masih didomi­nasi masyarakat bukan Melayu khususnya kaum Cina. Mereka masih merupakan pemodal besar dalam pelbagai sektor dan industri.

Bagi masyarakat Melayu Islam mereka lebih banyak bergantung kepada agensi dan sektor korporat berkaitan kerajaan.

Dalam hal ini, sebenarnya sudah lama seruan kerajaan sendiri agar membantu produk-produk bumiputera dilakukan. Malah semesti masyarakat Islam mendokong ekonomi mereka sendiri.

Namun sejauh mana masing-masing memberikan sokongan secara konsisten? Sewajarnya dalam masyarakat majmuk, orang ramai saling bantu membantu tanpa mengira kaum dan agama.

Apa yang lebih penting ada kualiti sesuatu produk dan paling utama ialah dari aspek halal. Halal adalah penanda aras kepada kualiti sesuatu produk yang boleh diperluaskan kepada seluruh masyarakat majmuk di negara ini.

Malah kejayaan Malaysia membangunkan piawaian halal hingga dipercayai di seluruh dunia harus dibanggakan. Jadi galakan perlu diberikan kepada semua peniaga tanpa mengira kaum untuk menghasilkan produk halal.

Dalam pada itu, masyarakat bukan Melayu turut berperanan untuk membantu peniaga-peniaga Bumiputera yang baru bertapak khususnya dalam bidang kritikal.

Sebarang tindak balas atas kempen BMF adalah tidak wajar kerana ia hanya akan membangkitkan rasa tidak puas hati.

Mereka turut perlu membantu untuk mengembangkan sektor yang masih kurang ditembusi masyarakat Islam seperti peruncitan, pembekalan dan pemborongan.

Rakyat Malaysia berbilang kaum, mereka saling memerlukan. Keharmonian perlu lebih diutamakan untuk negara ini terus maju.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas