Artikel

Gubal undang-undang kawal gejala obesiti

GAMBAR hiasan
- Diterbit 26 September 2019 9:49 AM MYT

Malaysia dianggap oleh ramai orang sebagai syurga makanan. Sebut sahaja apa jenis makanan sama ada makanan ala Barat, Asia Barat, Jawa, Padang, Cina, India mahu pun Eropah.

Malah makanan mentah seperti sushi dan sashimi juga sudah tidak asing lagi bagi masyarakat Malaysia. Sudah pastinya kewujudan pelbagai jenis makanan ini di­sebabkan wujudnya permintaan. Jika tiada permintaan nescaya restoran-restoran ini sudah lama bankrap.

Jika dahulu agak sukar untuk mendapatkan makanan jika terasa lapar pada waktu malam, kini sudah wujud restoran yang ber­operasi 24 jam sehari selama 7 hari seminggu.

Jika seorang itu penggemar minuman teh tarik, maka pastinya tekaknya terasa gian jika tidak ‘pe­kena’ teh tarik bancuhan mamak sekurang-kurangnya sekali sehari.

Inilah faktor yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia mengalami obesiti. Obesiti adalah penyakit tidak berjangkit tetapi sukar diubati.

Penyakit obesiti tidak berlaku dalam tempoh yang singkat. Seseorang tidak akan menjadi obes semata-mata kerana makan berlebihan dalam tempoh sehari atau seminggu.

Gejala obesiti mengambil masa bertahun-tahun.

Menurut Timbalan Menteri Kesi­hatan, Dr. Lee Boon Chye sewaktu melancarkan Hari Kanser Sedunia 2019, kanser disebabkan obesiti adalah fenomena baharu bagi rakyat Malaysia.

Menurutnya, seorang dari­pada setiap 10 lelaki dan seorang daripada setiap sembilan wanita di Malaysia menghadapi risiko pe­nyakit kanser.

Penyakit obesiti pula menduduki tangga kedua selepas merokok sebagai punca sakit kanser. Malaysia pula dinobatkan sebagai bangsa paling obes di Asia Tenggara dengan kadar obesiti sebanyak 17.7 peratus dan kadar terlebih berat (overweight) sebanyak 30 peratus.

Penyakit obesiti juga sering dikaitkan dengan lain-lain penyakit tidak berjangkit seperti penyakit tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit berkaitan kardiovaskular seperti sakit jantung.

Menurutnya lagi, terdapat 13 penyakit kanser yang dikaitkan dengan obesiti seperti kanser payudara, kolorektal, rahim, buah pinggang, pankreas dan lain-lain.

Gubal

Justeru, sudah sampai masanya bagi kerajaan menggubal undang-undang anti obesiti. Undang-undang seperti ini sudah menjadi keperluan kerana rakyat Malaysia sudah tidak mampu lagi mengawal rasa ghairah mereka terhadap makanan.

Pada tahun 2008, Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan, Jepun telah memperkenalkan satu undang-undang yang dikenali sebagai “Metabo Law” (Undang-­Undang Metabo) yang meng­hendaki setiap lelaki dan wanita yang berumur antara 40 hingga 74 tahun untuk mengambil saiz pinggang mereka setiap tahun.

Tahap ukur lilit pinggang yang ditetapkan adalah 33.5 inci untuk lelaki dan 35.4 inci untuk wanita.

Undang-undang ini juga menghendaki supaya pihak insuran kesi­hatan bagi setiap syarikat untuk menyediakan kelas penurunan berat badan bagi pekerja mereka.

Kerajaan Jepun juga akan me­ngenakan denda terhadap syarikat atau majlis perbandaran yang tidak mencapai sasaran mereka.

Adalah dilaporkan bahawa ada syarikat yang telah didenda sehingga AS$19 juta kerana gagal mematuhi undang-undang ini.

Undang-undang anti obesiti juga boleh memperincikan me­ngenai kandungan makanan menggemukkan yang perlu dihindari oleh rakyat Malaysia.

Undang-undang tersebut juga boleh memasukkan peruntukan berkaitan kadar gula atau lemak yang dibenarkan dalam sesuatu makanan.

Langkah Kerajaan Malaysia untuk mengenakan cukai soda adalah satu langkah yang baik kerana gula juga mempunyai sumbangan yang besar untuk menjadikan seseorang itu obes. Gula bukanlah satu makanan yang mempunyai zat.

Kelebihan gula hanyalah kerana rasanya yang manis menyebabkan seseorang itu mengalami ketagihan gula.

Dr. Zulqarnain Lukman merupakan peguambela, peguamcara dan peguam syarie

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas