Berita

Warga emas maut dirempuh kenderaan

- Diterbit 25 September 2020 7:55 AM MYT

SEORANG wanita warga emas berumur 62 tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Bukit Kuda pada pukul 6.50 petang semalam.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pemandu kenderaan yang melalui jalan tersebut tidak sempat mengelak apabila mangsa tiba-tiba melintas jalan dari arah Dewan Arena.

“Siasatan polis di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun melalui jalan dari arah Layangan menuju Petronas Durian Tunjung melalui Jalan Bukit Kuda.

“Paramedik hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemandu tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan sampel darah serta air kencingnya diambil untuk ujian dadah dan alkohol.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas