Berita

Ramlan Askolani kini ‘lincah’ bantu rakyat Lembah Pantai

|
- Diterbit 25 September 2020 8:36 AM MYT

SATU ketika dahulu, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani disifatkan antara pemain tengah pasukan Harimau Malaysia yang lincah dan agresif serta sering menjadi sasaran pasukan lawan untuk mengekang pergerakannya daripada dibolosi.

Setelah menggantung kasut tiga dekad lalu, beliau tetap lincah seperti dahulu, namun kini melalui kerja-kerja kebajikan di kawasan Parlimen Lembah Pantai.

“Saya bersekolah di Maktab Mahmud dan memulakan karier sebagai pemain bola sepak untuk dua musim pada tahun 1979 hingga 1980 serta pernah bermain untuk pasukan Kedah.

“Kemudian apabila pulang ke ibu kota, saya bermain untuk pasukan Kuala Lumpur bermula 1980 hingga 1990 dan sempat menyumbang bakti untuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) satu musim sebelum mengambil keputusan untuk bersara pada usia 31 tahun,” katanya kepada Wilayahku di pejabatnya baru-baru ini.

Pernah menyarung jersi Skuad Harimau Malaysia dan mewakili negara beraksi untuk kejohanan antarabangsa, Ramlan yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia pernah bertarung mewakili negara dalam perlawanan peringkat antarabangsa.

“Sewaktu bersama skuad kebangsaan, saya pernah bermain untuk merebut Piala Merlion anjuran Singapura, Pestabola Merdeka, PraKelayakan Sukan Olimpik, Piala Asia, Piala Jakarta Raya dan Piala Sultan Brunei.

“Saya pernah sepasukan dengan Dollah Salleh, Azizul Abu Hanifah, Abdul Karim Pin dan penjaga gol, Ahmad Sabri serta lagenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari,” katanya.

Menceritakan pengalamannya, Ramlan berkata, dunia politik jelas berbeza dengan kariernya sebelum ini sebagai pemain bola sepak.

“Permulaannya agak terlalu janggal kerana di dalam bola sepak, kita hanya perlu berlatih dengan bersungguh-sungguh, memasuki perlawanan, bermain untuk kemenangan pasukan, memperoleh gaji yang lumayan dan berpeluang mendapat anugerah.

“Dalam politik pula, ia tidak begitu kerana kita perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dan memastikan kehidupan mereka dapat dibela sebaik-baiknya,” katanya.

Ujar Ramlan lagi, antara cabaran yang harus dihadapinya ketika mengambil tanggungjawab sebagai Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai di saat Barisan Nasional kehilangan kuasa memerintah di peringkat persekutuan.

“Keadaan ketika itu jelas berbeza kerana sebagai pemimpin politik, saya perlu mencari sumber kewangan untuk membantu rakyat yang memerlukan dan menggerakkan aktiviti-aktiviti parti”.

“Meskipun telah kehilangan kuasa pada ketika itu, ia menguji prinsip kita samada berjuang demi agama bangsa dan negara kerana bagi saya, ia sebuah perjuangan yang murni,” katanya.

Ramlan yang sebelum ini berpengalaman sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai tiga penggal berturut-turut menyifatkan kawasan tersebut unik kerana dihuni pelbagai lapisan masyarakat.

“Sebagai contoh, Bangsar merupakan kawasan elit yang dihuni oleh ahli-ahli perniagaan dan hartawan berjaya. Mereka amat mementingkan perkhidmatan perbandaran dan keselamatan.

“Berbanding kawasan lain yang dihuni warga M40 dan B40, ada dalam kalangan mereka memerlukan bantuan berbentuk material dan kewangan kerana sememangnya mesti dibantu
selain perlu menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan kepentingan awam, pendidikan, perumahan dan sebagainya,” katanya.

Ujar Ramlan, peringkat permulaan, beliau pernah berasa kesal dengan jalan yang dipilih kerana ianya satu perkara yang asing dalam karier sebagai pemain bola sepak sebelum ini.

“Berbeza dengan keadaan sekarang, sebagai pemimpin politik, apabila melihat masalah rakyat di bawah, saya memahami erti pengorbanan yang sebenarnya untuk melihat rakyat dapat hidup selesa dan bahagia,”

“Walau apa jua keadaan, kami akan terus menghulurkan bantuan kepada rakyat kerana telah diterapkan bahawa penubuhan UMNO sebagai ‘service oriented’ kepada rakyat Malaysia khususnya di Parlimen Lembah Pantai,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas