Berita

Warga emas aset negara

MARIAH (lima dari kanan) bersama penyumbang dan warga emas yang menerima sumbangan pada program Menyantuni Warga Emas di PAWE Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur - FOTO: NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 17 Oktober 2019 10:03 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

CHERAS – Lebih 100 orang warga emas diraikan dalam program Menyantuni Warga Emas bersempena sambutan Hari Warga Emas Sedunia 2019 di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur.

Majlis anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Cheras Baru dengan kerjasama PAWE Cheras Baru dan Persatuan Solidariti Nasional (PERSONA) itu bertujuan untuk memberi penghargaan dan menggembirakan golongan tersebut.

Menurut Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Cheras Baru, Mariah Jantan, acara tahunan tersebut disertai oleh warga emas dari seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Seperti kita semua sedia maklum, golongan ini merupakan aset negara dan tulang belakang perkembangan negara, selain kemudahan, kita juga perlu menunjukkan nilai hormat dan tanggungjawab kepada mereka.

“Menariknya penganjuran program tahun ini agak bermakna apabila mendapat sumbangan daripada badan-badan korporat seperti Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS), Malton Berhad dan lain-lain,” ujarnya.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang berlangsungnya program selama empat jam tersebut antaranya ceramah kesihatan, aktiviti fisioterapi, pemeriksaan gigi, saringan kesihatan dan sebagainya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Zaizalnizam Zainun, Pengerusi PAWE Cheras Baru, Halijah Yahaya, Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Wong Ping Poo dan Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Wan Zarina Wan Salleh.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas