Berita

9 daerah di Selangor diramal banjir, banjir kilat

DAERAH-DAERAH yang diramalkan terlibat bencana alam.
- Diterbit 17 Oktober 2019 3:35 AM MYT

PUTRAJAYA – Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, pihak berkuasa keselamatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan untuk sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi bencana alam yang diramalkan akan berlaku ekoran taburan hujan yang tinggi bermula bulan ini.

Ini kerana, berdasarkan tinjauan jangka panjang taburan hujan di negeri itu, Jabatan Meteorologi Malaysia Negeri Selangor meramalkan purata hujan bagi bulan Oktober adalah antara 240mm-360mm, November 250mm-370mm dan Disember 200mm-300mm.

Jangkaan hujan bulanan yang tinggi itu akan menyebabkan kejadian banjir dan banjir kilat di sembilan daerah di Selangor iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Hulu Selangor dan Gombak.

DAERAH-DAERAH yang diramalkan terlibat bencana alam.

Sehubungan itu, Unit Pengurusan Bencana Selangor (SSCC) memaklumkan, ekoran pertambahan purata hujan tersebut, kejadian banjir kilat, banjir, tanah runtuh, ribut, dan lain-lain kesan akibat bencana alam diramalkan akan berlaku dalam tempoh tiga bulan ini.

“Penduduk-penduduk di sembilan daerah yang telah dikenalpasti berisiko mengalami banjir dan banjir kilat dinasihatkan supaya membuat persediaan awal dan mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas