Berita

Amal – MyAngkasa Az Zahra jalin usahasama promosi perkhidmatan umrah

HAZMAN (kiri) dan Kartini menunjukkan MOU yang ditandatangani.
- Diterbit 17 Oktober 2019 1:31 PM MYT

Oleh : AZLAN ZAMBRy
[email protected]

KUALA LUMPUR – Syarikat Penerbangan milik penuh Malaysia Airline (Amal by Malaysia Airlines) hari ini memetarai perjanjian persefahaman (MOU) dengan MyAngkasa Az Zahra Sdn. Bhd., bagi menyediakan perkhidmatan berkaitan urusan haji dan umrah.

Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Prof. Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata, kerjasama tersebut dapat membuka peluang kepada koperasi-koperasi ahli Angkasa yang menjalankan perkhidmatan umrah dan ziarah mendapatkan sewaan kapal terbang berjadual.

“Kerjasama ini dilihat mampu memaksimakan pendapatan koperasi apabila ahli terlibat dapat membawa kumpulan jemaah yang lebih besar di samping mengurangkan kos pengurusan.

“Dengan adanya gabungan koperasi ini, pelbagai pakej umrah yang menarik dapat dibuat bagi memberi impak yang signifikan,” katanya semasa ucapan sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara MyAngkasa Az Zahra Sdn. Bhd. dan Amal by Malaysia Airlines di Dataran PHB dekat sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Amal by Malaysia Airlines diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hazman Hilmi Sallahuddin dan MyAngkasa Az Zahra diwakili Ketua Pegawai Operasi, Kartini Mohd. Basri.

Sementara itu, Hazman berkata, pihaknya menyasarkan dapat membawa kira-kira 30,000 penumpang melalui kerjasama tersebut.

Hadir sama dalam majlis tersebut Pengarah Kumpulan Al-Rajhi Saudi Arabia, Bandar A Al Rajhi dan Setiausaha Pertama Kedutaan Arab Saudi ke Malaysia, Ali Ibrahim A. Alheji. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas