Berita

Warga asing mungkin dikenakan caj guna bas GoKL

- Diterbit 13 Ogos 2022 6:00 AM MYT

PERKHIDMATAN bas percuma GoKL yang ditanggung oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dimanfaatkan kira-kira 45.2 peratus oleh warga asing.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata menerusi perangkaan tersebut, beliau tidak menolak kemungkinan untuk mencadangkan kepada DBKL bagi mengenakan bayaran terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan awam tersebut.

“Mereka mengguna perkhidmatan ini secara percuma. Kalau kita kutip RM1 sahaja untuk setiap penggunaan oleh warga asing ini, kita boleh kutip RM9.2 juta pada setiap bulan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara Rabu lalu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang ingin tahu jumlah warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma GoKL dan adakah pihak kerajaan merancang mengenakan caj kepada warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma itu pada masa hadapan.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mengenai sikap orang awam yang kurang menggunakan pengangkutan awam di Kuala Lumpur, Jalaluddin menjelaskan di antara sebab utama adalah ketersambungan jajaran ‘first mile’ dan ‘last mile’ yang masih belum memuaskan.

Tambahnya, pengguna jalan raya mendakwa tempoh masa menggunakan kenderaan sendiri adalah lebih singkat berbanding menggunakan pengangkutan awam.

“Laluan first mile antara kediaman pergi ke tempat bermula pengangkutan awam dan ke hentian akhir stesen pengangkutan awam ke pejabat, ini yang kita kena naik taraf dan dimasukkan dalam pelan jangka panjang DBKL,” katanya.

Pengerusi Task Force Kesesakan Lalu Lintas Kuala Lumpur itu berkata pihaknya telah mengenal pasti 85 hot spot serta 11 perkara yang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di bandar raya dan telah menempatkan kawalan penguatkuasaan secara bersama pada waktu puncak di jalan-jalan utama iaitu 72 lokasi di bawah PDRM manakala 13 lokasi di bawah Warden Trafik DBKL,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas