Berita

1C1R program kitar semula serampang dua mata bantu warga PPR/PA

MAHADI (tengah) meninjau kemudahan yang ada di dalam kios 1C1R bagi memudahkan proses penukaran sisa pepejal dengan ganjaran barangan asas.
- Diterbit 13 Ogos 2022 1:00 AM MYT

PROGRAM 1 Komuniti 1 Kitar Semula (1C1R) merupakan misi serampang dua mata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup khususnya penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata kemudahan kios 1C1R merupakan inisiatif untuk membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan komuniti setempat selain mengurangan janaan sisa pepejal di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Program 1C1R ini membolehkan penduduk mendapat ganjaran dalam bentuk barangan keperluan asas seperti susu pekat, gula, tepung dan minyak masak serta menukar mata ganjaran bagi setiap barangan kitar semula yang di bawa ke kios tersebut.

“Usaha pemberian ganjaran ini juga dapat membantu meringankan beban perbelanjaan penduduk setempat terutama golongan B40 dari sekitar PPR dan PA ibu negara.

“Sebagai contoh, minyak masak terpakai lima kilogram boleh ditukar dengan tiga botol minyak masak satu kilogram baharu dan ini satu usaha yang baik bagi mengelakkan ia dibuang sehingga boleh merosakkan saliran dan juga memberi kesan kepada alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kios 1C1R di PA Seri Kota pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi SW Corp, Datuk Rizalman Mokhtar dan Pengerusi Berjaya Enviro Parks Sdn Bhd, Zakaria Abdul Hamid.

Menurut Mahadi, DBKL akan memperluaskan kemudahan kios statik berkenaan di kawasan PPR dan PA yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi kerana ia melibatkan janaan sisa pepejal yang sebanyak 2,200 tan metrik sehari dengan kos pengurusan yang mencecah RM300 juta setahun.

“Jika ini dapat dilakukan inisiatif ini boleh mengurangkan bilangan trip untuk penghantaran sisa pepejal ke pusat pelupusan di Bukit Tagar, Hulu Selangor. Jika kita dapat menjimatkan perbelanjaan itu, maka sudah tentu dapat mengurangkan kos serta pelepasan karbon yang menjadi punca kepada pemanasan global hari ini,” katanya.

Inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama syarikat Berjaya Enviro Parks yang akan membantu dari segi pemberian ganjaran bagi program alam sekitar yang dilaksanakan oleh DBKL.

Antara barang kitar semula yang boleh dibawa ke kios 1C1R yang beroperasi dua kali seminggu mengikut jadual yang telah ditetapkan itu ialah tin aluminium, kertas, plastik dan minyak masak
terpakai.

Ketika ini kios statik 1C1R telah diwujudkan di beberapa kawasan perumahan awam iaitu PPR Seri Alam di Pudu, PPR Beringin di Jinjang dan PA Seri Kota di Bandar Tun Razak. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas