Berita

DBKL selamatkan 49 gelandangan

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur mengadakan operasi menyelamat gelandangan secara berkala bagi membantu mereka kembali menjalani kehidupan seperti warga kota yang lain.
- Diterbit 14 Ogos 2022 1:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyelamatkan seramai 49 lagi gelandangan di sekitar Kuala Lumpur melalui satu operasi bersepadu yang dijalankan baru-baru ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata operasi yang dilaksanakan mengambil masa tiga jam membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan lain.

“Operasi menyelamat gelandangan yang diadakan secara berkala ini dilihat mampu membantu golongan itu untuk kembali ke landasan kehidupan normal selepas dibawa masuk ke pusat itu untuk menjalani pembentukan kemahiran.

“Latihan yang diberikan ini adalah sebagai persediaan untuk mereka berdikari sekiranya keluar daripada pusat ini kelak,” katanya pada Ahad lalu.

Menurutnya, kesemua gelandangan yang diselamatkan itu telah menjalani saringan dokumentasi.

Katanya, gelandangan yang berumur 60 tahun ke bawah dibawa ke Pusat Transformasi Gelandangan, Anjung Kelana, Anjung Singgah dan Pusat Serenti Bina Diri (PSBD) Sungai Buloh di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Terdapat juga gelandangan yang didapati positif ujian air kencing (urine test) dan diambil tindakan oleh pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang turut serta dalam operasi ini,” katanya.

Turut serta dalam operasi ini ialah Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek, Datuk Azmi Abdul Hamid dan Ketua Pengarah JKM, Datuk Shaharuddin Abu Sohot. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas