Berita

Warga AS diarah tinggalkan Sabah

JABATAN IMIGRESEN. Gambar hiasan JABATAN IMIGRESEN. Gambar hiasan
- Diterbit 10 Januari 2020 7:03 AM MYT

MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Tiga warga Amerika Syarikat (AS) diarah meninggalkan Sabah selepas didapati tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Pengarah Imigresen Sabah Muhamad Sade Mohamad Amin dalam satu kenyataan berkata, tiga warga AS yang ditahan itu terdiri daripada seorang lelaki berumur 38 tahun beserta dua anaknya seorang lelaki dan perempuan masing-masing berumur 14 dan 16 tahun.

Katanya, ketiga-tiga daripada mereka masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2017, namun pasport mereka kemudiannya dilaporkan hilang.

“Ketiga-tiga mereka datang ke pejabat Imigresen Tawau pada Rabu lalu bagi mendapatkan bantuan memandangkan mereka kehilangan pasport antarabangsa dan memohon untuk mendapatkan gantian pasport yang baru dari negara mereka.

“Mereka hadir ke pejabat Imigresen yang berhampiran (Tawau) untuk mendapatkan bantuan setelah mendapat khidmat nasihat daripada pihak Kedutaan AS di Kuala Lumpur,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Sade berkata, kedutaan AS di Kuala Lumpur telah menghubungi pejabat Imigresen Tawau agar diberikan bantuan sewajarnya.

“Siasatan lanjut dijalankan dan didapati ketiga-tiga mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

“Kertas siasatan telah dimajukan kepada timbalan pendakwa raya Jabatan Imigresen Negeri Sabah dan mereka dikenakan kompaun dan diusir balik ke negara asal,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas