Fokus

Wanita pandu ERL

NURUL ketika sedang memandu tren ERL.
- Diterbit 1 November 2019 12:02 AM MYT

SEBAHAGIAN besar wanita lebih memilih bekerja di pejabat. Namun lain pula bagi Nurul Norlini Ali, 27, yang sanggup menggalas tugas sebagai pemandu tren yang kebiasaanya dipelopori kaum lelaki.

Berkhidmat sebagai pemandu tren di ERL Maintenance Support Sdn Bhd (E-MAS), wanita berasal dari Kuala Rompin, Pahang ini tidak kekok melakukan tugas tersebut kerana sejak dari dahulu dia memang menyukai pekerjaan yang lasak.

Mengimbau kenangan tiga tahun lalu, Nurul sama sekali tidak menyangka percubaannya memohon pekerjaan sebagai pemandu tren diterima lantas namanya berjaya disenarai pendek untuk sesi temuduga.

“Waktu itu saya ada terbaca iklan di Jobstreet dan rasa tertarik walaupun terfikir ia agak mustahil kerana ketika itu, kerjaya sebagai pemandu tren wanita agak asing. Namun saya tekad untuk mencuba.

“Siapa sangka rezeki berpihak kepada saya dan seterusnya diterima untuk menjalani kursus dan latihan amali. Tempoh tersebut saya gunakan dengan sebaik-baiknya dan Alhamdulillah saya berjaya lulus semua ujian yang dijalankan,” ceritanya kepada WK2.

NURUL bersedia memulakan pemanduan tren KLIA Ekspres.

Ketika ini E-MAS mempunyai lima pemandu tren wanita termasuk Nurul.

Anak sulung daripada empat orang adik-beradik ini berkata, kali pertama memulakan tugas, dia berdepan dengan perasaan gugup dan panik namun berjaya diatasi apabila memikirkan tentang keselamatan serta nyawa penumpang.

Bayangkan betapa mencabarnya mengendalikan tren dengan empat gerabak dengan keseluruhan panjangnya kira-kira 68.7 meter dan mempunyai kelajuan mencecah 160 kilometer sejam (km/j).

“Biasalah hari pertama mula bertugas sedikit sebanyak pasti ada perasaan gementar walaupun sebelum itu sudah pun mengikuti kursus dan latihan amali. Namun perasaan tersebut berlalu apabila saya cuba menenangkan diri.

“Tugas ini pada luarannya mungkin nampak mudah, hanya perlu duduk atau memantau pedal secara automatik yang semuanya dikendalikan dari pusat kawalan namun hakikatnya ia bukanlah semudah yang disangka,” ujarnya.

Nurul menjelaskan, bagi mengendalikan tren, pemandu perlu peka dengan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap arahan yang diberi oleh pusat kawalan yang bertindak menyampaikan maklumat jika tren berdepan dengan masalah teknikal dan sebagainya.

“Setiap 30 saat, pemandu perlu memberi respons dengan memijak pedal pada kaki, jika tidak lampu amaran berserta buzzer akan berbunyi. Ia berfungsi untuk memastikan pemandu berada dalam keadaan baik dan sedar bagi melancarkan perjalanan tren.

“Sekiranya berlaku kecemasan kepada pemandu, tren akan berhenti dengan sendiri apabila tidak menerima respons daripada pemandu tren setelah lampu amaran menyala dan buzzer berbunyi,” terangnya secara terperinci.

Tambahnya, banyak situasi yang perlu dihadapi saban hari. Seandainya tren mengalami masalah, sebagai pemandu, dia perlu memberi maklumat terperinci kepada penumpang melalui pengumuman agar mereka tidak panik.

“Andai kata tren tidak boleh bergerak dan berada di tengah landasan, maka kita perlu melakukan pemindahan penumpang ke tren yang lain dalam tempoh masa yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan penumpang.

“Kali pertama saya berhadapan masalah di landasan, bayangkan saya terpaksa turun ke landasan yang paling bawah sekali dan ia agak tinggi. Waktu itu macam-macam perasaan takut bermain di fikiran,” ujarnya.

Cerita Nurul lagi, dia perlu berlepas mengikut waktu yang ditetapkan dan sampai pada waktu yang sepatutnya yang mana tempoh perjalanan tren ekspres dari Stesen Kuala Lumpur Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) akan mengambil masa selama 33 minit manakala transit pula 38 minit.

ORANG ramai memilih ERL sebagai pengangkutan yang mudah dan pantas ke KLIA atau Putrajaya.

Dengan had laju 160km/j, tren baru KLIA Ekspres buatan China, mempunyai 185 buah tempat duduk (156 buah tempat duduk di dalam tren Siemens buatan Jerman). KLIA Transit pula boleh membawa 350 orang penumpang (termasuk 144 orang penumpang yang duduk).

Bertugas selama lapan jam sehari dan terbahagi kepada tiga syif, ada ketikanya dia perlu berada seawal pukul 4 pagi dan pulang selewat-lewatnya pukul 1 pagi.

Pun begitu, dia mengakui kadang-kadang menyelinap perasaan takut ketika waktu giliran terakhir.

“Semua orang pun pasti merasai perkara yang sama namun saya tidak terlalu memikirkan tentang perasaan tersebut kerana ini adalah kerjaya yang diidamkan selama ini,” ujarnya yang sentiasa bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan.

Jadual kerja yang padat membuatkan ibu kepada seorang cahaya mata ini berdepan dengan kekangan waktu untuk bersama keluarga tercinta namun dia bersyukur kerana dikurniakan suami yang begitu memahami.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas