Berita

‘Wall climbing’ mencabar di Putrajaya

AMINUDDIN (berdiri, enam dari kiri) bersama pemenang pertandingan.
- Diterbit 14 Februari 2020 5:36 AM MYT

KIRA-KIRA 100 peserta mencabar kemampuan diri dalam Pertandingan Wall Climbing Komuniti Putrajaya yang dianjurkan di Kompleks Mendaki, Taman Cabaran, Presint 5, Putrajaya baru-baru ini.

Berlangsung selama dua hari, peserta diberikan pendedahan mengenai sukan ekstrem tersebut melalui Bengkel Asas dan Teori Sukan Mendaki Wall Climbing sebelum pertandingan diadakan.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, pertandingan itu melibatkan dua kategori iaitu Wall Climbing Closed Men & Women Putrajaya Communiti serta Wall Climbing Open Men & Women Novices.

Jelasnya, peserta diberi tiga jam untuk menyelesaikan laluan mendaki secara marathon dan endurance yang mana pemenang ditentukan berdasarkan pengumpulan mata di setiap laluan.

Katanya, penganjuran aktiviti sukan ekstrem seumpama itu dapat memberi pendedahan kepada komuniti Putrajaya khususnya golongan belia berkaitan teknik mendaki yang betul di samping mengilap bakat peserta.

“Kita mahu orang ramai tahu bahawa Putrajaya adalah bandar mesra belia yang memiliki kemudahan serta fasiliti terkini bagi sukan mendaki.

“Aktiviti ini julung-julung kali bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020).

“Selain memberikan fokus kepada aktiviti belia, ia juga dapat mempromosikan kemudahan yang disediakan di Taman Cabaran, Putrajaya,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas