Berita

Jelawat, kelah menanti kaki pancing di Tasik Putrajaya

AMINUDDIN melepaskan ikan ke dalam tasik Putrajaya khusus untuk pertandingan memancing pada 15 Februari ini.
- Diterbit 14 Februari 2020 5:42 AM MYT

BAGI menyemarakkan Pertandingan Memancing Putrajaya 2020 yang bakal berlangsung 15 Februari ini, Perbadanan Putrajaya (PPj) menyediakan hadiah berjumlah lebih RM20,000 kepada pemenang pertama hingga ke 100.

Sebanyak 40 hadiah cabutan bertuah seperti televisyen LED 60 inci serta barangan keperluan memancing yang dianggarkan bernilai RM35,000 turut menanti kaki pancing.

Mengekalkan konsep ‘tangkap dan lepas’ yang bertujuan mengimbangi populasi ikan di Tasik Putrajaya, PPj mengambil langkah proaktif dengan melepaskan 12,000 benih ikan jelawat dan lampam kerai di Jeti Presint 2, Putrajaya.

Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, sempena pertandingan itu, turut dilepaskan adalah tiga jenis ikan induk iaitu temoleh, jelawat dan kelah dengan anggaran
berat 1.5 hingga 2 kilogram.

Katanya, benih-benih ikan tersebut merupakan sumbangan daripada Pusat Pengembangan Akuakultur, Perlok, Pahang dan Pusat Penyelidikan Ikan Air Tawar, Gelami Lemi, Negeri Sembilan.

“Pertandingan memancing Putrajaya 2020 akan bermula pada pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari di sisiran Tasik Presint 2,3 dan 4 Putrajaya,’’ katanya.

Majlis perasmian pertandingan memancing sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020) itu dijadual disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad.

“Pertandingan ini terbuka kepada ‘kaki-kaki pancing’ dengan yuran penyertaan RM20 bagi setiap joran untuk warga tempatan manakala RM50 kepada warga asing,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelepasan Ikan baru-baru ini.

Turut hadir Naib Presiden Jabatan Perancangan Bandar PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud.

Menurut Aminuddin, selain pendaftaran dan pembayaran secara atas talian yang ditutup pada 11.59 malam, 12 Februari, kaki pancing boleh membuat pendaftaran di kaunter Pusat Khidmat Pelanggan sehingga 14 Februari ini.

Kaunter pendaftaran yang beroperasi selama 24 jam dibuka di lokasi pertandingan bersebelahan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3 bermula pukul 5 petang, 14 Februari.

Ujarnya, 1,000 penyertaan awal iaitu 500 pendaftar atas talian dan 500 di kaunter akan menerima baju-T percuma.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas