Selebriti

“Walaupun RM1, ia mampu selamatkan nyawa saya” – Emma Akma bersyukur

- Diterbit 10 Ogos 2021 10:54 AM MYT

MENGHIDAP kanser dalaman perut dan cyst pada kiri dan kanan ovari, merupakan dugaan besar buat pelakon Emma Akma.

Emma Akma, 52, atau nama sebenarnya Noorakma Yunus memanjatkan kesyukuran tidak terhingga apabila jumlah sumbangan untuk menanggung kos pembedahan kanser perut dialaminya sudah mencecah lebih RM20,000.

Sumbangan yang disalurkan menerusi akaun banknya itu semakin meningkat selepas penderitaannya mendapat liputan media baru-baru ini. Beberapa rakan selebriti dan produser turut tampil memberi bantuan untuknya.

Pelakon drama Gerak Khas: The Finale itu paling terharu apabila netizen sudi menyumbang secara ikhlas biarpun serendah RM1. Baginya, ia sudah cukup disyukurinya kerana mampu meringankan beban ditanggung.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang sudi menderma sehingga berjaya dapat RM20,000 dalam tempoh empat hari. Walau RM1 pun saya sangat-sangat hargai kerana ia mampu selamatkan nyawa saya.

“Ia sekali gus membuatkan saya lebih bersemangat untuk melawan kesakitan ini. Alhamdulillah, saya juga dapat panggilan daripada Institut Kanser Negara (IKN) untuk menjalani pemeriksaan pada Khamis ini.

“Dengan jumlah sumbangan yang ada sekarang, saya takkan menunggu lama dan terus melakukan pemeriksaan itu. Jika IKN boleh lakukan pembedahan itu, lagi saya bersyukur dan harap dapat dilakukan segera,” katanya.

Menurut Emma, dia kini berusaha menguatkan semangatnya kerana ketumbuhan dalam perutnya itu boleh pecah pada bila-bila masa sahaja.

“Sekarang saya cuma mahu fokus untuk segerakan pembedahan itu dengan wang sumbangan yang ada. Ini kerana kalau ditangguh, ketumbuhan itu boleh pecah bila-bila masa dan membawa maut.

“Kalau misalnya tiba-tiba saya pergi, suami dan keluarga saya boleh gunakannya untuk urusan bayaran hutang serta pengebumian. Saya mohon maaf dan minta halalkan sumbangan kalian semua itu.

“Saya tak tahu bagaimana hendak membalas jasa baik semua yang sudah menghulurkan bantuan. Saya cuma mahu doa kamu semua agar saya diselamatkan serta urusan pembedahan dipermudahkan,” katanya.

Emma ditemui di kediamannya hari ini sewaktu menerima sumbangan daripada wakil kumpulan artis veteran juga, Tukiman Radion dan Norlydiawati Shahibullah. Mereka tampil menyumbangkan cek bernilai RM1,050.

Menurut Tukiman, mereka sangat bersimpati dan ambil berat dengan penderitaan pelakon itu. Justeru, mereka berharap sumbang terbabit mampu meringankan bebannya.

“Apabila mendapat tahu berita Emma menghidap kanser perut, kami sepakat untuk mengumpul sumbangan daripada rakan artis lain. Kami tidak mahu nanti industri kita kehilangan seorang lagi pelakon berbakat,” katanya.

Terdahulu, Emma tampil merayu bantuan orang ramai selepas disahkan menghidap kanser perut serta ketumbuhan sebesar saiz bola sepak serta cyst pada kiri dan kanan ovarinya.

Dia mengakui buntu kerana pembedahan segera ketumbuhan itu perlukan kos sebanyak RM50,000.

Pelakon terbabit masih berharap dapat mengumpul sumbangan bagi mencapai kos terbabit. Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun bank Maybank 162209987311 (Noorakma Yunus). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas