Selebriti

“Walaupun diuji bertubi-tubi, kena positif” – Alyah

|ALYAH berjaya menyatukan lima pengasas produk yang diundang sebagai pelakon di dalam muzik video. |PENGGAMBARAN video muzik Thank You Allah di Pulau Langkawi
- Diterbit 28 Ogos 2021 11:06 AM MYT

PENYANYI Datin Alyah bersyukur kerana muzik video rasmi Thank You Allah yang dilancarkan dua minggu lalu itu kini sudah menerima hampir 100,000 tontonan di YouTube.

Malah lirik video lagu yang turut menampilkan Cat Farish dan Haris Ismail itu pula ditonton hampir 3 juta kali sejak dimuat naik menerusi platform berkenaan pada Ramadan.

ALYAH berjaya menyatukan lima pengasas produk yang diundang sebagai pelakon di dalam muzik video.

Menurut Alyah, selain menampilkan bait-bait rap nyanyian Cat Farish serta monolong dalam Bahasa Melayu dan Arab oleh Haris, Thank You Allah berjaya menyatukan lima pengasas produk yang diundang sebagai pelakon di dalam muzik video.

“Sepatutnya enam wanita hebat terbabit di dalam muzik video ini. Akan tetapi kita hanya merancang tapi Allah SWT yang menentukan kerana salah seorang daripadanya tidak dapat bersama-sama pada saat akhir kerana mempunyai komitmen yang perlu didahulukan.

“Ikutkan hati, memang berhajat mahu kumpulkan semua untuk melengkapkan jalan cerita. Tapi tidak mengapa, semuanya dipermudahkan. Mereka termasuk saya berlakon sebagai adik-beradik yang pada awalnya ada perselisihan faham.

“Bagaimanapun akhirnya, masing-masing sedar akan silaturrahim itu adalah yang paling penting berbanding harta benda dan wang ringgit. Insafi diri adalah kunci untuk kita sedar siapa diri kita di sisiNya,” katanya.

PENGGAMBARAN video muzik Thank You Allah di Pulau Langkawi

Berada di Langkawi selama tiga hari untuk menjayakan muzik video berkenaan, isteri pemuzik Datuk Ramli MS ini bersyukur kerana kerjasama yang diberikan kelima mereka memudahkan proses penggambaran.

“Saya sedia maklum, masing-masing ada komitmen terhadap bisnes dan sebagainya. Jadi bila mereka dapat disatukan di Langkawi pada waktu yang sama membuatkan saya berbesar hati.

“Biarpun mampu nak menginap di mana-mana hotel, namun mereka sanggup untuk tinggal di lokasi sama dengan kami serta team produksi demi memudahkan proses penggambaran muzik video Thank You Allah.

“Iyalah, pastinya ada kekurangan juga dari pihak saya, tapi mereka sangat memahami dan cukup bertolak ansur. Sanggup bersusah payah bersama. Luar biasa komitmen yang diberikan.

“Senang cakap semua ada nama, ada duit dan ada pangkat, akan tetapi mereka tetap lakukannya dengan saya seolah-olah kita semua sama sahaja,” katanya.

Alyah pada masa sama terharu apabila menerima maklum balas positif pendengar selain lagu kerohanian berkenaan sering menjadi latar muzik di media sosial, khasnya di Instagram.

“Lagu ini dilancarkan pada Ramadan dan ketika itu kita masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB). Semua tahu, kita diduga Allah SWT dengan pandemik Covid-19.

“Dari awal lagu ini dimainkan sehinggalah pada saat ini, penerimaannya tidak saya sangka. Saya macam… hanya dengan satu sebab Allah beri pada saya lalu saya berkongsikan pada mereka di luar sana untuk sama-sama insafi diri dan syukur nikmat.

“Walaupun kita diuji bertubi-tubi, kita kena fikir positif dan jangan jemu untuk berdoa. Mahu tidak mahu, itu yang kita perlu lakukan ketika ini. InsyaAllah Dia akan sentiasa ada dengan kita.

“Sebenarnya, ia bukanlah soal kejayaan lagu ini semata-mata, sebaliknya andai ada yang membuatkan Thank You Allah ini suatu semangat, itu sudah memadai, alhamdulillah bagi saya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas