Selebriti

Cinta Tak Bertepi bukan kisah cinta Sufian Suhaimi

|LAGU Cinta Tak Bertepi bukan kisah cinta Sufian Suhaimi|
- Diterbit 30 Ogos 2021 6:20 AM MYT

RINDU peminat Sufian Suhaimi,29, terubat apabila penyanyi itu kini tampil dengan lagu Cinta Tak Bertepi dan video lirik lagu tersebut telah dimuat naik di saluran YouTube Aries Music sejak 26 Julai 2021.

Ramai peminat menyukai lagu ini dan mereka menganggap ia adalah kisah cinta Sufian Suhaimi bersama Kekasih baharu.

Namun, terus terang Sufian menjelaskan lagu Cinta Tak Bertepi bukan kisah cintanya.

Sebaliknya lagu tersebut adalah tentang perasaannya yang diluahkan untuk pendengar muzik di Malaysia, sama ada dirinya masih ada tempat di hati pendengar atau sebaliknya.

Bagi Sufian, Cinta Tak Bertepi adalah lagu yang sesuai untuk dikeluarkan pada waktu sekarang biarpun ada beberapa lagu lain yang sudah dirakam.

“Saya ada beberapa lagu yang dah siap, cuma Cinta Tak Bertepi ini adalah lagu yang sesuai untuk dikeluarkan pada waktu sekarang.

“Saya rasa teruja nak kongsikan lagu-lagu yang telah dirakam dengan peminat, insya-Allah bila tiba masa yang sesuai, saya akan kongsikan dengan pendengar,” jelasnya yang belum berkesempatan menghasilkan video muzik untuk lagu Cinta Tak Bertepi kerana pandemik.

Lagu Cinta Tak Bertepi ciptaan Ikhwan Fatanna dan lirik oleh Wan Saleh itu dirakam pada awal tahun ini dan sehingga kini jumlah tontonan telah mencecah 135,271K.

Bagi Sufian jumlah tontonan video lirik tersebut sudah cukup menggembirakannya kerana lagu berentak pop balada itu dilancarkan dalam suasana yang penuh kekangan dek pandemik Covid-19.

“Bagi saya, apa yang dapat sekarang ini dah baik sebenarnya, sebab waktu kita release lagu Cinta Tak Bertepi ini adalah waktu yang agak lama selepas single Janji, iaitu setahun lebih. Cinta Tak Bertepi ini tidak dapat dipromosikan seperti apa yang kita rancang.

“Tak kisahlah berapa banyak view pun, asalkan lagu ini didengari oleh ramai orang. Untuk lagu ini memang ada sedikit kelainan dari segi lirik dan cara nyanyian saya berbeza daripada lagu-lagu sebelum ini. Dari segi melodi tak terlalu sedih. Kalau orang biasa dengar lagu saya selalunya betul-betul sedih tapi Cinta Tak Bertepi ini adalah sebuah lagu ringan dan santai,” jelasnya.

LAGU Cinta Tak Bertepi bukan kisah cinta Sufian Suhaimi

Kata Sufian, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk merakam lagu Cinta Tak Bertepi yang dilakukan di studio di Sri Damansara kerana sejak pertama kali mendengar demo lagu tersebut, hatinya telah tertarik.

“Sebenarnya, saya ada beberapa lagu daripada komposer lain juga tapi saya rasa lagu ini paling dekat dengan diri dan sebab itulah saya pilih karya Ikhwan Fatanna.

“Pemilihan lagu ini juga disebabkan oleh kejayaan lagu Janji yang mencecah 10 juta tontonan kerana ramai yang suka lagu ini. Kita nak kekalkan team produksi yang sama untuk lagu Cinta Tak Bertepi.

“Mungkin disebabkan itu ada persamaan dari segi mood lagu. Lagipun bekerjasama dengan orang yang kita sudah biasa, tidak akan ada masalah,” katanya.

Guitar Pillow ‘buah hati’ baharu Sufian

Sebagai kesinambungan kepada kehadiran lagu Cinta Tak Bertepi, Sufian turut membuat perancangan untuk mengadakan persembahan secara virtual untuk peminat-peminatnya.

Selain sibuk mempromosi single baharu di media sosial, Sufian juga rancak mempromosi produk baharu, Guitar Pillow iaitu kolaborasi babypian.hq X Haqiem Rusli. Sebelum ini Sufian mengeluarkan Zikir Pillow.

“Idea asal buat Guitar Pillow ini daripada Zikir Pillow yang saya hadiahkan untuk anak angkat. Selain zikir ada juga ayat al-Quran. Bila ramai orang suka produk tersebut, saya fikir untuk pelbagaikan lagi.

“Untuk produk terbaharu, Guitar Pillow, saya berkolaborasi dengan Haqiem Rusli. Selain daripada suara saya, ada juga suara Haqiem berzikir dan trak zikir kami bersama. Ajak Haqeim sebab dia memang kawan rapat saya dalam industri.

“Memandangkan waktu PKP melanda, ramai yang terkesan dan untuk elak peminat rasa bosan, saya buat sesuatu yang baharu dan ini adalah waktu yang sesuai. Haqiem tidak menolak bila diajak buat projek ini kerana ia dekat dengan dirinya.

“Lagipun peminat suka karakter Haqiem yang jaga solat dan dia pula ada kelab peminat yang besar,” jelas Sufian kenapa beliau memilih penyanyi lagu Tergantung Sepi itu.

Sejak dilancarkan 16 Jun lalu sempena sambutan hari lahir Haqiem yang ke-23 tahun itu, kata Sufian produk bantal berbentuk gitar itu mendapat sambutan menggalakkan.

Seronok berlakon

Selain menyanyi, Sufian juga berlakon drama Kampung Kolestrol, 20 episod, arahan Shuhaimi Lua Abdullah. Dalam drama tersebut beliau berlakon di samping Ziana Zain sebagai ibunya, serta penyanyi Mas Idayu sebagai Kak Bib, ibu kepada Aiman Tino.

“Watak Adi tu jauh berbeza daripada karakter saya tapi ia satu pengalaman menarik. Saya tak pernah berlakon untuk produk yang memerlukan komitmen tinggi seperti Kampung Kolestrol, sampai 20 episod, selalunya telefilem.

“Sepanjang penggambaran, saya dapat timba pelbagai pengalaman menarik dan seronok saja bila di set. Kerja dengan penyanyi diva (Ziana dan Mas Idayu), mula-mula segan sebab dua nama besar ini sama bidang dengan saya.

“Saya respek tinggi kedua-dua penyanyi ini dan rasa bertuah dapat bekerja dengan mereka sebab dapat kenali mereka dengan lebih rapat. Selain itu, saya dapat ciduk ilmu daripada legenda ini. Mereka layan macam mak-mak, terasa ada mak kat set,” ceritanya.

Sementara Itu, video muzik lagu Cinta Tak Bertepi boleh ditonton di laman YouTube rasmi Aries Music dan boleh didengari di platform digital seperti Spotify, Joox, i-Tunes, Deezer dan KkBox.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi Zamani 011-10050884 – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas