Selebriti

DPIM, eJazmine.com serah bakul makanan kepada usahawan terjejas

Dato’ Seri Muhammad Khanafi Husin (dua dari kiri) rakan kongsi eJazmine.com
- Diterbit 28 Ogos 2021 8:05 AM MYT

DEWAN Perdagangan Malaysia (DPIM), Putrajaya bersama-sama sebuah platform dalam talian eJazmine.com, menganjurkan Program Bantuan Bakul Makanan kepada golongan usahawan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 semalam, di Sungai Merab, Kajang, Selangor.

Program bantuan tersebut telah pun dimulakan dengan melibatkan Persatuan Peniaga Sungai Merab dan akan diluaskan ke beberapa daerah lain termasuk Shah Alam, Hulu Langat dan Sepang .

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin (dua dari kiri) rakan kongsi eJazmine.com, Datuk Seri Mohd Rizal Mohd Yusof (kiri) bergambar bersama dalam Program Bantuan Bakul Makanan sempena pandemik COVID-19 bersama Persatuan Peniaga Sungai Merab di sini baru-baru ini.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin, pihaknya terpanggil membantu pengurusan bagi memastikan kebajikan ahli terbela dengan mempunyai bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi.

“Pek Bakul Makanan yang disumbangkan terdiri daripada keperluan barangan keperluan harian beras, gula, tepung, bihun dan lain-lain.

“Setakat ini pihak DPIM dan eJazmine.com telah menyediakan sebanyak 500 bakul makanan sejak program dilancarkan,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan tersebut.

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin (kiri) menyampaikan sumbangan bantuan bakul makanan kepada salah seorang peniaga daripada Persatuan Peniaga Sungai Merab di sini baru -baru ini.

Hadir sama rakan kongsi eJazmine.com, Datuk Seri Mohd Rizal Mohd Yusof.
Khanafi menambah, idea mengadakan program tersebut adalah hasil daripada laporan yang diterima oleh DPIM Putrajaya yang menyatakan beberapa ahlinya terkesan akibat pandemik yang menjejaskan sumber pendapatan.

“Pada awalnya hanya usahawan DPIM yang terlibat dengan sumbangan bakul makanan, namun kami meluaskan bantuan kepada beberapa kumpulan lain yang terjejas. Diharap pada masa akan datang kami berupaya menyediakan lebih banyak bakul makanan untuk diagihkan.

“Sehubungan dengan itu saya berharap program Bantuan Bakul Makanan ini mendapat sokongan daripada orang ramai untuk bersama-sama menyertai usaha murni ini.

“Kami turut mengalu-alukan sesiapa sahaja termasuk badan korporat dan perseorangan menyalurkan sumbangan,” ujarnya.

Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi urusetia DPIM di talian 012 3069522. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas