Artikel

Wajarkah UPSR dan PT3 dikembalikan?

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 20 Januari 2023 2:56 AM MYT

DALAM negara lain yang dahulunya mengamalkan sistem peperiksaan seperti Singapura dan China, sibuk bergerak maju terhadap menginsankan sistem pentaksiran dan penilaian di sekolah, ramai ibu bapa di negara kita mendesak untuk mengembalikan peperiksaan taruhan tinggi (high-stakes exam) Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Jelas masih ramai ingin memusatkan pendidikan kepada sistem peperiksaan kebangsaan atas alasan dengan adanya peperiksaan ini, murid lebih bermotivasi dan cenderung untuk belajar. Kajian luas berkaitan motivasi dan kesan peperiksaan taruhan tinggi di beberapa negara maju dan membangun, memaparkan dapatan yang jelas bahawa tahap stres dan keresahan dalam kalangan murid adalah tinggi dan memberi kesan negatif jangka masa pendek dan panjang kepada murid-murid, bergantung kepada tahap resiliensi seseorang murid itu.

Kesan ini menjadi lebih teruk dengan tambahan tekanan daripada ibu bapa yang inginkan anak mereka mencapai keputusan yang cemerlang dan lebih teruk apabila membandingkan keputusan yang diperoleh dengan murid yang lain. Pernahkah kita terfikir apa yang berlegar dan menghantui minda dan perasaan murid berusia 12 dan 15 tahun ini? Apakah keperluan sebenar untuk diadakan peperiksaan taruhan tinggi ini sedangkan jika kita benarbenar inginkan pemantauan dan perkembangan pembelajaran yang lebih efektif, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) memberikan lebih manfaat dan menggalakkan komunikasi serta hubungan erat antara guru-murid-ibu bapa/ penjaga khasnya dalam memahami dan mengikuti perkembangan pembelajaran murid.

PBS mempunyai banyak kelebihan berbanding peperiksaan taruhan tinggi, jika tujuan pentaksiran dilaksanakan adalah bagi membantu pengajaran dan pembelajaran, di mana melalui PBS, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dapat dilaksanakan secara berterusan melalui kaedah yang pelbagai sama ada melalui kuiz, ujian berterusan, ujian akhir tahun, ujian alternatif dan sebagainya. Dengan kaedah pelbagai ini, ia membolehkan guru menilai murid secara menyeluruh atau holistik. Proses berterusan ini juga membolehkan guru lebih memahami keperluan pembelajaran murid.

Menyedari tentang kebaikan yang akan diperoleh dari pelaksanaan PBS ini yang menggabungkan konsep pentaksiran formatif dan sumatif, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil langkah ke depan dengan melaksanakan sistem tersebut di sekolah rendah pada 2011 dan di sekolah menengah pada 2012 sebagai salah satu agenda Program Transformasi Pendidikan dengan berobjektifkan kepada pembinaan insan yang holistik, penguasaan ilmu dan pembentukan sikap progresif.

Berbeza dengan sistem peperiksaan taruhan tinggi di mana rata-rata murid belajar dan hafal untuk menduduki seterusnya lulus peperiksaan. Disebabkan amalan belajar dan hafal ini, ramai murid tidak mampu mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang diperoleh apatah lagi dalam mengekalkan kelestarian ilmu pengetahuan. Ia menanam budaya ‘belajar kerana peperiksaan’.

Oleh yang demikian lahirlah budaya ‘serapan maklumat’ dan ‘menjawab mengikut skema’. Amalan ini bercanggah dengan ideologi globalisasi pendidikan dan matlamat mencapai kebolehan berfikir aras tinggi dalam kalangan murid. Perlu diingatkan, bilangan ‘A’ yang banyak bukan cerminan kecerdikan atau kepintaran seseorang.

Apa yang perlu diterapkan adalah belajar ilmu diikuti memahami ilmu yang dipelajari serta boleh mengaplikasikan ilmu yang difahami mengikut situasi. Begitu juga, masyarakat khasnya ibu bapa perlu maklum bahawa minat, kecenderungan, tahap dan perkembangan murid adalah berbeza-beza. Kecerdasan pelbagai (multiple intelligences) murid perlu diakui dan diberi perhatian.

Ada murid yang cenderung dalam akademik, ada murid yang cenderung dalam kemahiran, ada juga murid yang cenderung dalam kesenian dan sebagainya. Oleh yang demikian penilaian secara holistik melalui PBS adalah dilihat sesuai. Ini tidak bermaksud PBS mengamalkan ‘bebas peperiksaan’ sepenuhnya. Manakala tujuan peperiksaan taruhan tinggi (i.e. national exam) adalah bertujuan untuk pengkelasan, pengredan atau pun persijilan. Oleh yang demikian, sekali lagi adakah perlu dilaksanakan UPSR dan PT3 sebagai peperiksaan taruhan tinggi dan apakah keperluan persijilan bagi dua peperiksaan ini?

Jika ibu bapa benar-benar ingin memantau perkembangan pembelajaran anak-anak, PBS dan PBD merupakan pendekatan yang lebih baik kerana ianya dilaksanakan secara berterusan. Negara China, Korea, Jepun serta beberapa negara membangun yang lain termasuk Malaysia sendiri telah melihat kesan sistem berpusatkan peperiksaan ini dan kini berusaha untuk melatih guru dalam membantu proses penerapan amalan pentaksiran formatif ke arah pentaksiran dan penilaian untuk pembelajaran (assessment for learning) serta mengintegrasikan bersama pentaksiran sumatif (assessment of learning) dan penilaian sebagai pembelajaran (assessment as learning). Usaha ini mendapat kerjasama dari organisasi Kesatuan Sekerja Antarabangsa Education International berpusat di Belgium melalui Projek T3LFA (Teacher Led Learning Circles on Formative Assessment) dan Latihan dan Pelaksanaan Pentaksiran Formatif.

Perubahan yang ingin dibawa ini memerlukan anjakan minda, perubahan amalan serta keperluan untuk keluar dari budaya pentaksiran berpusatkan peperiksaan dan ini merupakan cabaran utama yang memerlukan masa juga keterbukaan minda dalam penerimaan perubahan.

PENULIS merupakan Profesor Madya di Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan Koordinator Penyelidikan (Malaysia), Projek Penilaian Latihan dan Pelaksanaan Pentaksiran Formatif, Education International & NUTP. Beliau boleh dihubungi di [email protected].

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas