Artikel

Kenapa ganggu, pertikai Yayasan WP?

FOKUS YWP adalah menjadi sebuah yayasan bertaraf negeri yang kukuh, mampu menjana dan menguruskan dana dengan efektif serta mengagihkan secara saksama pelbagai bantuan bagi meningkatkan taraf hidup penduduk WP.
- Diterbit 6 Januari 2023 8:13 AM MYT

PADA pertemuan tertutup Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Ahli-Ahli Parlimen Kuala Lumpur sempena lawatan Anwar ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 22 Disember lalu, wakil rakyat Kepong, Lim Lip Eng, mempertikai fungsi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Lip Eng mahu YWP dibubar. Alasannya, sudah sekian lama YWP membazir duit pembayar cukai kerana fungsi dan tanggungjawabnya bertindih dengan jabatan lain.

Walaupun pertemuan tertutup, ia menjadi tatapan umum apabila Lip Eng bertindak memuat naik mengenai apa yang beliau timbulkan melalui hantaran Twitter yang kemudian dikutip oleh sebuah portal berita. Kerana itu Adi juga ingin menyentuh apa yang disebut oleh Lip Eng berhubung YWP.

Pada Adi, ia lebih merupakan pandangan peribadi tanpa asas kukuh. Perlu difahami penubuhan dan fungsi YWP adalah seperti yayasan yang terdapat di negeri lain misalnya Yayasan Perak, Yayasan Pahang, Yayasan Selangor, Yayasan Sabah dan sebagainya.

Wilayah Persekutuan (WP) sebagai sebuah negeri mewujudkan yayasannya sendiri untuk melaksanakan pelbagai fungsi demi kepentingan warga kota. Misi dan visinya digariskan dengan jelas dalam piagam penubuhan.

YWP ialah ‘Syarikat Berhad Menurut Jaminan’ yang ditubuhkan pada 9 April 1986, dipengerusikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan. Kini setelah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dimansuh individu lain dijangka menjadi pengerusi.

Misi YWP ialah menjadikannya sebuah yayasan bertaraf negeri yang kukuh, mampu menjana dan menguruskan dana dengan efektif serta mengagihkan secara saksama pelbagai bantuan bagi meningkatkan taraf hidup penduduk WP.

Objektif YWP pada Adi, sangat murni iaitu membantu menaik taraf golongan berpendapatan rendah serta memerlukan bantuan. Sejajar itu, misi YWP tertumpu kepada lima teras utama iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T).

Skim Pendidikan merangkumi bantuan dan program berkaitan pendidikan; Ekonomi pula berkaitan program pembangunan ekonomi dan pemerkasaan keusahawanan; Sosial merangkumi skim dan bantuan melibatkan kebajikan, kesihatan, bencana dan lain-lain.

Bagi aspek Agama merangkumi upacara-upacara agama sementara Teknologi berkisar kepada penyediaan sistem pengurusan dan pemudah cara akses awam kepada YWP.

Jelas misi dan objektif menyerlahkan iltizam YWP untuk muncul sebagai sebuah yayasan yang kukuh. Pada masa sama menabur bakti bagi memastikan kesejahteraan warga kota yang memerlukan bantuan, terutama dalam bidang pendidikan dan ekonomi tanpa mengira bangsa dan agama.

Dalam aspek pendidikan, YWP mempunyai rekod terpuji membantu pelajar tidak berkemampuan tetapi cemerlang dalam pelajaran, baik di sekolah atau Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Ini dilakukan melalui Bantuan Khas Persekolahan dan Skim Bantuan Awal IPT.

Untuk pelajar sekolah yang tidak berkemampuan, bantuan awal persekolahan diberi untuk meringankan ibu bapa melunasi keperluan perbelanjaan musim persekolahan. Juga diberi bantuan beg sekolah serta Program Bantuan Makanan.

Program Bantuan Makanan yang diberi kepada pelajar Sekolah Menengah bernilai RM5 setiap seorang memberi faedah kepada 1,500 pelajar di 91 sekolah di Kuala Lumpur. Selain itu, 250 pelajar di sembilan sekolah masing-masing di Putrajaya dan Labuan menikmati faedah sama.

Pelajar cemerlang kurang berkemampuan yang berjaya memasuki menara gading turut diberi bantuan kewangan awal. YWP bertindak memastikan mereka tidak tercicir sehinggalah memperoleh bantuan daripada sumber lain.

Bantuan kewangan yang diberi secara sekali terima ini, atau oneoff, merupakan bantuan kewangan kepada pelajar memasuki IPT awam atau swasta di dalam atau luar negara.

Bantuan diberi meliputi pangajian peringkat diploma, ijazah pertama, sarjana dan kedoktoran.

Dalam aspek ekonomi pula, YWP menyediakan bantuan perniagaan. Antaranya melalui Skim Usahawan Anak Muda Kota (UAMK) dan Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan.

Melalui Skim UAMK, bantuan diberi dengan menyediakan lokasi perniagaan dan bantuan gerai mudah alih kepada warga kota. Program ini dilaksana secara kolaborasi dengan KWP dan agensinya seperti DBKL, Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL).

Bantuan kepada golongan peniaga kecil dan penjaja yang menjadikan perniagaan sebagai sumber rezeki, dibuat melalui Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan. Bantuan termasuk pinjaman kepada peniaga dan penjaja berlesen di WP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sehingga RM5,000 tanpa faedah.

YWP juga membantu golongan berpendapatan rendah atau B40 menghadapi kenaikan harga barang. Ini dilakukan melalui Program MyGrocer@Wilayah yang merupakan jualan murah barangan kepada penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur.

Yayasan dengan kerjasama KWP menyediakan peruntukan bagi barangan asas dan dijual terus kepada penghuni PPR/PA DBKL di 39 lokasi meliputi 13 kawasan parlimen WP.

Melalui MyFood@Wilayah pula, bantuan beras diberi kepada warga WP. Sehingga Julai 2022, seramai 9,511 warga WP telah menerima bantuan ini.

Selain itu, turut diberi Bantuan Bakul Makanan yang merupakan sumbangan makanan asas percuma kepada warga WP pelbagai kaum yang layak menerima. Setiap keluarga menerima antaranya sekampit beras lima kilogram, mi segera, biskut dan lain-lain.

Bantuan Ihya Ramadan turut diberi sebagai bantuan kepada keluarga miskin sempena sambutan bulan Ramadan. Sumbangan adalah dalam bentuk kewangan dan barang.

Banyak lagi khidmat bakti YWP yang tidak dapat disenarai kesemuanya. Yang nyata semua perkhidmatan ini sangat bermanfaat menjurus kepada membela dan menyantuni warga WP. Apa yang dilakukan selama ini adalah khidmat murni yang merentasi batas agama, bangsa dan politik.

Satu fakta penting yang mesti diketahui ialah YWP tidak mendapat peruntukan tahunan daripada kerajaan. Penyaluran sumbangan adalah daripada dana atau sumber pendapatan perniagaan yang dijana oleh YWP sendiri. Ini melambangkan usaha gigih YWP mengumpul dana untuk disalurkan kembali demi kepentingan warga WP. Pengorbanan ini sewajarnya dihargai.

Perlu juga disebut terdapat program bermusim yang mana YWP hanya bertindak sebagai pelaksana sahaja. Contohnya Program MyGrocer@Wilayah. Ia adalah inisiatif KWP, tidak melibatkan kewangan di pihak YWP.

Mengambil kira fakta ini semua, apakah asas atau di mana logiknya dakwaan Lip Eng YWP hanya membazirkan wang pembayar cukai. Mungkin beliau tidak memahami operasi dan sumber kewangan YWP. Jadi seelok-eloknya minta penjelasan sebelum meluah tuduhan.

Adi benar-benar tidak faham kenapa ada ahli parlimen WP seperti Lip Eng mempertikai fungsi dan peranan YWP sehinga mahu ia dibubar. Alasan ia bertindih dengan peranan adalah dangkal kerana setiap agensi ada peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Mungkin Lip Eng beranggapan fungsi seperti memberi bantuan pelajaran sudah dilaksanakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau agensi lain. Juga bantuan untuk rakyat miskin dilakukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ini adalah kesimpulan umum yang dilihat secara makro sematamata. Fungsi YWP perlu dilihat secara mikro, menjurus kepada warga WP. Ini juga yang dilakukan oleh Yayasan di negeri lain. Kenapa harus tuding jari kepada YWP sahaja?

Adi tegas berpegang YWP tidak harus diusik atas alasan remeh atau demi kepentingan politik sematamata. YWP telah lama wujud dan berfungsi dengan baik. Ia tidak harus diganggu gugat, sebaliknya biarkan ia terus melakukan yang terbaik untuk warga WP.

Adi berharap Perdana Menteri abaikan sahaja desakan Lip Eng. Kepada Lip Eng dan Ahli-Ahli Parlimen WP, berilah buah fikiran membina membantu memakmurkan WP dan mensejahterakan warganya. Yang sudah wujud dan berfungsi dengan baik serta efektif seperti YWP kenapa hendak diganggu? Adi — Teruskan tugas murni YWP – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas