Artikel

Perhatian khusus atasi isu kenaikan harga barang

TEKANAN kos sara hidup disebabkan kenaikan harga barang, makanan dan perkhidmatan asas adalah antara perkara yang menjadi masalah utama membelenggu kebanyakan rakyat Malaysia. - Gambar hiasan
- Diterbit 20 Januari 2023 3:11 AM MYT

KENAIKAN harga tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik serta bukan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berkuat kuasa pada 23 Januari ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada pelbagai pihak. Pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) dalam kalangan industri, termasuk perbadanan multinasional (MNC) akan dikenakan surcaj 20 sen/kWj.

Pada masa sama, kerajaan masih menampung subsidi RM1.93 bilion agar peningkatan surcaj ini tidak dilepaskan keseluruhannya secara mendadak. Persoalan timbul, adakah industri akan menyerap tambahan surcaj tarif elektrik atau mengalihkan kos tambahan berkenaan dengan menaikkan harga barangan dikeluarkan?

Ketika ini, rakyat secara keseluruhannya merasai kenaikan harga barangan secara mendadak disebabkan pelbagai faktor, antaranya kesan berterusan peperangan Ukraine dan Rusia yang tidak menunjukkan tanda akan berakhir pada masa terdekat.

Isu perubahan iklim turut menjejaskan pengeluaran makanan. Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di bawah Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) mendapati harga makanan mencecah paras tertinggi tahun lalu berikutan tercetus perang di Ukraine dan kemarau dikaitkan dengan perubahan iklim.

Harga dunia bagi komoditi seperti bijirin dan minyak sayuran adalah tertinggi direkodkan. Indeks Harga Makanan oleh FAO yang melihat perubahan bulanan dalam harga antarabangsa bagi bahan makanan umum menunjukkan harga makanan adalah lebih 14 peratus melebihi purata pada 2021.

Di United Kingdom (UK) pula, inflasi makanan melonjak ke paras tertinggi pada Disember tahun lalu dengan British Retail Consortium menyatakan inflasi makanan meningkat kepada 13.3 peratus pada Disember daripada 12.4 peratus pada bulan sebelumnya, mencapai paras tertinggi sepanjang masa untuk indeks yang diperkenalkan pada 2005 itu. Perkara sama juga berlaku di negara lain, termasuk Malaysia dengan kenaikan mendadak harga barangan.

Banyak faktor yang berlaku secara serentak menyebabkan apa yang terjadi ketika ini termasuk permintaan jauh lebih tinggi berbanding penawaran, kebergantungan kepada barangan import dan kesan penularan COVID-19 yang masih meninggalkan kesan besar kepada negara serta rakyat.

Dengan kemungkinan berlaku kenaikan mendadak harga minyak, bahan api dan sumber tenaga juga berpotensi untuk memberikan kesan kepada kenaikan harga barang akan melambung lebih tinggi.

Bukan sahaja harga barangan makanan dalam negara naik, bahkan turut membabitkan kenaikan harga barangan lain seperti alat ganti kenderaan termasuk bateri, tayar dan minyak enjin.

Perkara ini tentu memberikan tekanan kepada industri automotif secara keseluruhannya untuk mengekalkan harga kenderaan bagi tahun ini.

Perkara sama juga terjadi kepada bahan binaan dengan kenaikan harga bahan mentah berkaitan pembinaan akhirnya berpotensi untuk mendorong kenaikan harga rumah. Dengan berlaku kenaikan secara berterusan harga bahan mentah binaan, tidak sukar untuk kita jangkakan akan berlaku kenaikan harga rumah ketara pada tahun ini.

Bahkan dengan kenaikan konsisten 10 hingga 20 peratus setiap tahun untuk bahan mentah binaan, maka terdapat kemungkinan pemaju perumahan berhadapan tekanan dan cabaran untuk bertahan bagi menyiapkan rumah dijual, terutama membabitkan tempoh pembinaan panjang iaitu mengambil masa empat hingga lima tahun untuk siap.

Kenaikan harga barang ini bukan isu terpencil, bahkan boleh menjadi bom jangka. Isu berkaitan kenaikan harga daripada harga makanan ternakan seperti dinyatakan Affin Hwang Investment Bank umpamanya harga soya dan jagung masing-masing meningkat 16.2 peratus serta 34.8 peratus dari awal tahun hingga 30 Disember lalu. Malah, kenaikan harga ayam, telur, ikan laut, ikan air tawar, sayur-sayuran serta barangan makanan lain amat meresahkan dan membimbangkan rakyat secara keseluruhannya.

Bagaimana 2023 akan menjadi lebih baik apabila rakyat memperoleh pendapatan hampir sama tetapi perlu membeli barangan keperluan harian naik secara mendadak? Ini tidak termasuk peningkatan bayaran bulanan pinjaman disebabkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara berterusan.

Logiknya, sudah pasti akan ada bayaran atau perbelanjaan akan ditangguh disebabkan tekanan berlaku daripada pelbagai penjuru. Keadaan ini juga tentu sekali menyukarkan rakyat untuk menabung dan membuat simpanan, selain berkemungkinan menggunakan simpanan sedia ada untuk menampung keperluan bayaran pinjaman atau perbelanjaan bulanan untuk membeli barangan keperluan harian.

Oleh itu, Bajet 2023 perlu digunakan semua Ahli Parlimen tidak kira daripada kerajaan mahupun pembangkang untuk mempersiapkan negara dalam berhadapan dengan tahun amat mencabar.

Antara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah mengawal kadar inflasi mengawal kenaikan harga barangan terutama barangan keperluan asas menawarkan pelbagai inisiatif akibat peningkatan kos sara hidup dihadapi rakyat terutama golongan rentan serta merangsang pertumbuhan perniagaan.

PENULIS adalah Profesor Madya Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas