Fokus

Wajah baharu Perpustakaan Komuniti TTDI

HIASAN dalaman
- Diterbit 26 Oktober 2019 1:21 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

PERPUSTAKAAN kebiasaannya digambarkan sebagai satu kawasan yang sunyi dan dipenuhi pelbagai buku-buku sebagai bahan rujukan terutamanya kepada golongan pelajar universiti.

Oleh kerana keadaan tersebut digambarkan sebagai tempat yang ‘membosankan’ bagi sesetengah golongan, kewujudan perpustakaan dipandang sepi dan hanya dikunjungi ketika sesi pengajian dan ditinggalkan apabila pengajian tamat.

Menyedari keadaan itu, pemilihan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 yang akan bermula beberapa bulan lagi pasti akan menjadi cabaran untuk mengekalkan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat agar legasi yang ditinggalkan pasca tahun Ibu Kota Buku Dunia tidak dipersiakan.

Sudah pasti pelbagai inisiatif telah dijalankan untuk menyemarakkan lagi program berkenaan agar Kuala Lumpur kekal menjadi ikon bandar raya yang menitikberatkan kepada warganya untuk menyemai tabiat membaca bagi menjadi sebagai warga yang berilmu.

Pembukaan semula Perpustakaan Komuniti Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) baru-baru ini melengkapkan perancangan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memupuk komuniti setempat dan membabitkan mereka untuk merancakkan lagi Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020 nanti.

ROSIDAH

Ketua Pustakawan, Perpustakaan Kuala Lumpur, Rosidah Ismail berkata, Perpustakaan Komuniti Taman Tun Dr. Ismail diletakkan di bawah Perpustakaan Kuala Lumpur dan pihak DBKL untuk menyelenggara perpustakaan ini untuk komuniti setempat.

Perpustaaan komuniti tersebut menyimpan koleksi kira-kira 45,000 buah buku pelbagai genre untuk diterokai oleh masyarakat yang cintakan ilmu, katanya.

“Pihak DBKL sentiasa mencari kaedah untuk memajukan dan membudayakan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat agar status negara maju seperti yang digariskan oleh kerajaan akan tercapai.

“Oleh itu, DBKL telah membangunkan semula perpustakaan ini untuk keselesaan orang ramai dan kegunaannya dapat dimaksimumkan untuk kebaikan masyarakat setempat,” katanya kepada WK2 baru-baru ini.

RUANGAN untuk ahli keluarga bersantai bersama anak-anak dalam perpustakaan.

Kata Rosidah, sebelum ini, perpustakaan tersebut ditutup selama kira-kira dua tahun untuk kerja-kerja pembangunan semula sesuai dengan kepesatan teknologi semasa.

“Setelah proses pembangunan, perpustakaan ini berwajah baharu malah kemudahan-kemudahan baharu yang disediakan untuk kegunaan pelbagai lapisan masyarakat. “Antara yang menarik ialah ilustrasi yang terang dan unik pada dinding. Semuanya direka dan dicat oleh artis tempatan Arif Rafhan Othman.

Antara kemudahan yang disediakan ialah pembinaan satu unit lif kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas,” katanya.

Selain itu, jelas beliau, perpustakaan ini telah mengalami pengubahsuaian yang besar dari segi reka bentuk dan hiasan dalaman yang lebih moden untuk menarik kedatangan golongan kanak-kanak dan remaja.

“Di sini terdapat ruangan khas untuk kanak-kanak yang telah dinaiktaraf dengan hiasan dalaman yang berwarna-warni. Bukan itu sahaja, pelbagai fasiliti untuk golongan ini turut disediakan seperti meja interaktif, sudut internet, ruangan pemainan e-games dan juga bilik tayangan,” katanya.

Tambah Rosidah, semua kemudahan itu dipantau oleh seorang kakitangan untuk memastikan kemudahan yang disediakan berada di dalam keadaan baik.

“Selain permainan dihadkan kepada satu jam untuk setiap kanakkanak yang datang dan bilik wayang juga dikawal dan hanya kakitangan sahaja yang akan memasang filem untuk setiap sesi penggunaan,” katanya.

Ujar Rosidah lagi, susun atur perabot dalam perpustakaan itu juga memainkan peranan yang penting untuk keselesaan pengunjung.

“Ruangan dalam direka untuk lebih kontemporari dengan gaya yang lebih moden dan ia sesuai untuk aktiviti pembacaan dan ulang kaji kepada pengunjung,” ujarnya.

Selain itu, antara kemudahan yang disediakan di perpustakaan ini termasuk surau, kafeteria dan tempat kereta kepada pengunjung.

Perpustakaan berkeluasan 17,857 kaki persegi itu mempunyai dua tingkat untuk kegunaan kepada pengunjung dengan tingkat bawah dikhususkan kepada kanak-kanak.

“Proses pengubahsuaian perpustakaan ini menelan belanja RM9 juta dan mempunyai enam orang kakitangan sepenuh masa,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas