Biz

UIAM, QSR Brands lancar Program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA)

Dzulkifli (kiri) bersalaman dengan Mohamed Azahari selepas menandatangani MoA Pelancaran Program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA)
- Diterbit 18 Oktober 2019 7:34 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) secara rasminya menjalin kerjasama dengan pengendali rangkaian restoran khidmat pantas terbesar di
rantau ini, QSR Brands (M) Holdings Bhd. (QSR Brands) menerusi anak syarikatnya, QSR Stores Sdn. Bhd. bagi melaksanakan inisiatif 2u2i pertamanya di dalam program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA).

Kerjasama itu dilakukan bagi menyokong mandat kerajaan di dalam menggerakkan pembangunan kemahiran dan modal insan negara menerusi sistem pendidikan tinggi yang diperbaharui supaya dapat menerajui pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia, sekali gus memacu negara ke hadapan.

Selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), program akademik 2u2i menyokong perlaksanaan pembelajaran fleksibel menerusi penglibatan industri di dalam penggubalan kurikulum merangkumi pembelajaran berasaskan pengalaman
(experiential) di tempat kerja.

Kurikulum yang digubal bersama juga akan memantapkan pengetahuan dan kemahiran industri dalam kalangan pelajar, sekali gus meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan.

Kerjasama strategik ini memberi peluang kepada pelajar program BBA untuk mendapatkan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential) menerusi latihan industri di restoran KFC.

Mengambil rangka 3u1i di bawah inisiatif 2u2i, para pelajar bakal menjalani latihan industri selama satu tahun selepas mengikuti pengajian akademik selama tiga tahun.

Menurut Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, penempatan industri bagi kelompok pertama pelajar BBA tahun akhir yang memilih mod ini dijangka bermula pada Febuari 2020 di restoran KFC terpilih.

Ujar beliau, sepanjang tempoh latihan, para pelajar akan diberi elaun bulanan sebanyak RM1,000 oleh pihak QSR Brands.

“Keunikan inisiatif ini adalah, kelompok pertama yang diambil merupakan pelajar tahun akhir yang telah melengkapkan modul tiga tahun di universiti,” katanya.

Terdahulu, kerjasama berkenaan telah dimaterai menerusi sebuah Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani Dzulkifli dan Pengarah Urusan Kumpulan QSR Brands, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Prof. Dr. Cairul Iqbal Mohd. Amin.

Mohamed Azahari turut menyatakan, sebagai sebuah organisasi perniagaan yang telah lama bertapak di Malaysia, pihaknya turut bertanggungjawab untuk menyumbang program-program pembangunan kemahiran dan modal
insan yang mantap ke arah menyerlahkan potensi penuh negara.

“Kami berbesar hati untuk berkongsi sumber dan infrastruktur latihan moden yang kami ada bersama UIAM seterusnya merapatkan jurang antara pengetahuan teori dan praktikal di dalam program akademik ini.

“Ia sekali gus melahirkan lebih ramai graduan mengikut acuan industri. Di dalam latihan selama setahun itu, pelajar akan menjalani lima modul dengan 30 jam kredit di restoran KFC seperti yang ditetapkan dan diluluskan oleh QSR Brands. Ini akan memberikan mereka pendedahan secara langsung di dalam bidang pengurusan restoran mengikut piawaian terbaik global,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas