Artikel

Suka duka Aminuddin jadi penguat kuasa

AMINUDDIN ketika sambutan Hari Penguatkuasa DBKL baru-baru ini.
- Diterbit 26 Oktober 2019 8:06 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

HARI Penguatkuasa peringkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2019 yang disambut baru-baru ini merupakan detik terakhir bagi Timbalan Penguasa Kanan, Aminuddin Saad, 60, kerana beliau bakal bersara pada 29 Oktober ini.

Aminuddin akan mengakhiri tugasnya di Jabatan Penguatkuasa DBKL setelah berkhidmat dengan DBKL sejak 40 tahun. Menjelang persaraannya itu, beliau menerima Anugerah Tokoh Penguatkuasa 2019 yang sampaikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad.

“Saya memulakan khidmat di DBKL sebagai warden trafik dan ditugaskan di pelbagai unit di dalam Jabatan Penguatkuasa serta pernah bertugas di jabatan lain sebelum khidmat saya bakal berakhir di unit yang pernah sertai awal perkhidmatan.

“Antara bahagian dan unit yang pernah disertai ialah kawalan keselamatan, bilik radio selain pernah menjadi drum major pasukan pancaragam DBKL dan kemudian pernah bertugas agak lama dengan skuad penyelamat DBKL,” katanya.

Ujar Aminuddin, sepanjang 40 tahun berkhidmat, banyak cabaran yang dilalui antaranya menjalankan tugas bagi operasi perobohan kawasan setinggan.

“Kami menghadapi tindakan agresif penghuni yang enggan berpindah selain pernah dicemuh dan dihina kerana menjalankan tugas. Oleh kerana tugas yang diamanahkan, kami menjalankan operasi dengan baik,’’katanya.

Cerita Aminuddin lagi, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah apabila diarahkan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa runtuhan Highland Tower, Hulu Kelang pada 11 Disember 1993.

“Kami terpaksa berada di kawasan tersebut selama 11 hari bersama dengan rakan-rakan dari Jabatan Penguatkuasa,’’ katanya sambil menambah peristiwa itu sungguh menyayatkan hati.

Selain itu, antara pengalaman yang tidak dilupakan juga ialah menyertai operasi SAR insiden letupan kilang mercun Brite Sparkless di Sungai Buloh, Selangor yang mengorbankan banyak nyawa.

Aminuddin yang menjadi saksi evolusi pembangunan dan kemajuan pesat Kuala Lumpur berkata, tugas penguatkuasa bukan sahaja menguatkuasakan undang-undang malah menjadi ‘duta’ di ibu kota kerana melalui pakaian seragam, orang ramai dan pelancong dapat mengenali mereka.

“Penguatkuasa harus menggunakan kaedah plomasi ketika berhadapan dengan pelbagai kerenah warga kota yang menuntut kesabaran ketika menjalankan tugas,” katanya.

Bapa kepada tiga anak dan datuk kepada lima cucu ini menasihatkan orang muda agar sentiasa belajar dan menimba ilmu serta bekerja dengan bersungguh-sungguh dalam menjalankan setiap tugasan yang diberikan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas