Berita

Wajah baharu bas sekolah percuma

DUA orang pekerja sedang memberikan sentuhan terakhir pada wajah baharu bas sekolah per- cuma DBKL.
DUA orang pekerja sedang memberikan sentuhan terakhir pada wajah baharu bas sekolah per- cuma DBKL.
- Diterbit 26 Julai 2019 1:18 AM MYT

KUALA LUMPUR – Program ban­tuan bas sekolah percuma Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditampilkan dengan wajah grafik baharu yang lebih ceria, moden dan menarik.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad dalam laman Twitter­nya baru-baru ini berkata, program itu meliputi 144 buah bas dan van sekolah yang terpilih telah menyertai program ini di seluruh Kuala Lumpur.

Bas sekolah percuma berwajah baharu itu dijangka mula beroperasi pada 1 September ini.

Program bas percuma tersebut disediakan untuk murid-murid sekolah yang layak serta tinggal di Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) DBKL.

Kemudahan tersebut yang dilancarkan pada 14 Ogos 2016, kini telah melangkau usia tiga tahun.

Program tersebut adalah selaras dengan langkah murni kerajaan untuk meringan­kan beban kewangan keluar­ga berpendapatan rendah yang me­netap di PA/PPR DBKL.

Program ini meliputi serta melibatkan di 60 buah PA/PPR di sekitar Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, Azizan Othman berkata, kemudahan bas sekolah percuma disambut baik oleh ibu bapa dari kalangan keluarga B40.

Katanya, kemudahan tersebut dapat meringankan beban kos pengangkutan yang perlu ditanggung selain me­ngatasi masalah kenaikan belanja sara hidup seharian pada masa ini.

Namun beliau memberikan cadangan agar sistem pemilihan pelajar bagi mendapat kemudahan bas percuma tersebut dirombak dengan memberikan kuasa kepada pihak persatuan penduduk.

‘’Ketika ini borang penyertaan dibekalkan oleh pihak pengusaha bas sebelum diisi dan kemudian diserahkan kepada pihak DBKL.

“Jadi ramai pelajar yang lebih layak kadang-kadang tercicir sedangkan Ahli Jawatankuasa persatuan penduduk le­bih mengenali penduduk dan keadaan latar belakang mereka,’’ katanya.

Selain itu katanya, jumlah bas sekolah percuma itu juga perlu ditambah lagi bagi menampung keperluan pelajar yang berkelayakan untuk menerima kemudahan tersebut.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas