Berita

Litar pendidikan dibina tingkat kesedaran keselamatan jalan raya

AMINUDDIN (tiga dari kanan) menyempurnakan pelancaran Persatuan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya di Marina Putrajaya baru-baru ini.
DATUK Dr. Aminuddin Hassim (tiga kanan) ketika melancarkan Persatuan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya, di Marina Putrajaya, baru-baru ini.
- Diterbit 26 Julai 2019 1:19 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebuah litar bagi tujuan pendidikan dirancang dibina di sini sebagai usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terutama golongan muda terhadap kepentingan keselamatan jalan raya.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, pihaknya telah menghantar permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk membina litar tersebut.

“Litar itu bukan dibina untuk perlumbaan sebalik­nya bagi pendidikan dalam memastikan pengguna jalan raya khususnya penduduk di Putrajaya dapat mematuhi undang-undang lalu lintas.

“Kelulusan permohonan untuk pembinaan litar di Taman Wawasan, Presint 11 yang menelan kos RM3 juta itu dijangka diketahui pada Oktober ini dan tempoh pembinaanya bakal mengambil masa kira-kira 12 bulan,’’ katanya pada majlis pelancaran Persatuan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Komuniti Putrajaya di Marina Putrajaya baru-baru ini.

Aminuddin berkata, jumlah pelanggaran peraturan lalu lintas di bandar ini berada pada tahap yang membimbangkan.

“Perbuatan langgar lampu isyarat, menunggang motosikal di lorong pejalan kaki, melintas jalan di kawasan bukan lintasan, meletakkan kenderaan di tempat yang merbahaya merupakan antara kesalahan yang paling banyak berlaku di Putrajaya.

“Mengikut statistik dari tahun 2015 hingga 2018, sebanyak 6,543 kes kemalangan dengan 36 kematian direkodkan di Putrajaya manakala sehingga Jun lalu, sebanyak 880 kemalangan berlaku dengan satu kes kematian,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas