Berita

Bantu ibu tunggal, wanita teraniaya tingkat taraf kehidupan

SHAHRUDDIN (tengah) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa Witus pada majlis silaturahim persatuan tersebut di Dewan Serbaguna PPR Taman Wa- hyu II, Kuala Lumpur baru-baru ini.
SHAHRUDDIN (tengah) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa Witus pada majlis silaturahim persatuan tersebut di Dewan Serbaguna PPR Taman Wa- hyu II, Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 26 Julai 2019 1:16 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan membantu untuk mendapatkan sebuah pejabat bagi kegunaan Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Kuala Lumpur dan Selangor (Witus).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh berkata, pihaknya cuba mendapatkan bantuan tersebut dan berbincang dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandangkan persatuan yang telah berdaftar sejak tahun 2009 itu telah mempunyai lebih 1,200 orang ahli.

“Saya difahamkan, kebanyakan ahli Witus merupakan ibu tunggal, mangsa keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah yang membelenggu mereka.

“Memandangkan 70 peratus daripada ahli Witus bermastautin di sekitar Kuala Lumpur, maka menjadi tanggungjawab pihak kementerian untuk membantu mereka,’’ katanya ketika berucap merasmikan Majlis Silaturahim persatuan tersebut Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu II di sini baru-baru ini.

Kata Shahruddin, beliau berasa cukup bertuah kerana berpeluang berjumpa dengan golongan hebat yang terdiri daripada ibu dan wanita-wanita yang berdikari.

“Pihak kementerian akan sentiasa menyokong sebarang usaha untuk meningkatkan taraf kehidupan ibu tunggal supaya tidak ketinggalan dengan pelbagai inisiatif yang disediakan,’’ katanya.

Kata Shahruddin lagi, pihak kerajaan menyediakan jenis program bantuan antaranya membiayai kursus modal insan bagi meningkatkan taraf hidup wanita yang ingin lebih berdikari.

Pada majlis itu, Shahruddin mengumumkan peruntukan sejumlah RM20,000 untuk kegunaan persatuan tersebut.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas