Berita

Vokal terkucil perkara biasa – Jamal Abdillah harap Nabila tidak putus asa

|NABILA mendapat reaksi serta sokongan positif daripada rakan-rakan artis.
- Diterbit 17 Mac 2021 11:32 PM MYT

PENYANYI relevan sepanjang zaman, Datuk Jamal Abdillah,61, menyatakan semua penyanyi akan cenderung untuk melakukan kesilapan ketika menyanyi terutama apabila berada di pentas besar seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd. Ali, turut memberi pesanan buat penyanyi Nabila Razali yang berdepan momen ‘vokal terkucil’ saat mendendangkan lagu Peluang Kedua pada AJL 35 Ahad lalu.

“Melakukan kesilapan ketika menyanyi adalah perkara biasa. Memang tak boleh elak. Rasa gementar itu memang akan ada. Sebagai penyanyi, kita perlu pandai mengawalnya.

“Teruskan berusaha untuk pertandingan-pertandingan akan datang. Saya sendiri pun pernah tergelincir ketika menyanyi. Itu memang perkara normal,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada sidang media pelancaran lagu Neraca bersama penyanyi rap duo, Kmy Kmo dan Luca Sickta.

NABILA mendapat reaksi serta sokongan positif daripada rakan-rakan artis.

Jamal juga tidak menafikan kuasa penjurian namun kebarangkalian ada unsur favouritisme.

“Dalam mana-mana pertandingan, akan unsur favouristime. Bayangkan ada 10 juri profesional, tak boleh salahkan hanya seorang juri kalau keputusan tidak menepati selera.

“Juri pun ada kegemaran mereka sendiri. Ada lagu yang layak mungkin dibantu faktor komersil dan populariti. Tapi saya percaya, semua yang bertanding di AJL35 layak berada di pentas tersebut dan juri telah melakukan tugas dengan baik,” kata Jamal yang dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga menerusi lagu Belenggu Rindu bersama Wany Hasrita.

Ahad lalu, Lagu Gila dendangan Kaka Azraff, Loca B dan Noki diumumkan sebagai juara AJL35 yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas