Berita

Annuar bergegas lawat kebakaran Pasar Datok Keramat

- Diterbit 18 Mac 2021 2:05 AM MYT

SUSULAN kebakaran deretan kedai di Pasar Datok Keramat petang semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa menzahirkan perasaan sedih kerana bencana tersebut berlaku menjelang kedatangan bulan Ramadan dan ia menjejaskan perniagaan mangsa yang terlibat.

“Dukacitanya ia berlaku dekat dengan bulan Ramadan dan saya akan berbincang dengan Datuk Seri Rina Harun untuk mengambil tindakan serta merta.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga akan mengambil tindakan segera dan akan berunding dahulu dengan peniaga-peniaga.

“Kalau semua orang bersetuju, kita tidak ada pilihan melainkan mendirikan semula (gerai) di tapak yang sama secara serta-merta,”katanya kepada Wilayahku selepas turun padang meninjau keadaan Pasar Datok Keramat malam tadi.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Menurut Annuar, beliau sedang menunggu maklumat terperinci mengenai insiden tersebut daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis dan bahagian teknikal dan kejuruteraan DBKL sebelum membuat keputusan untuk membina semula kedai tersebut.

“Saya difahamkan seramai 46 orang mangsa yang terlibat dan kita akan dapat maklumat terperinci setelah mereka semua berdaftar.

“Kita akan panggil pemaju kerana tanah ini dalam perundingan dengan mereka. Saya juga perlu lihat semua aspek dan dalam tempoh lima hari Insha Allah, saya akan buat satu keputusan dan mencari jalan untuk membina semula dengan cara yang paling cepat agar mereka boleh berniaga dalam bulan Ramadan,” katanya.

Katanya lagi, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan DBKL akan memberikan bantuan tunai kepada mangsa setelah mereka didaftarkan.

“Bantuan tunai sementara akan dihulurkan dan kita juga akan melihat apa yang diperlukan,

“Keutamaan saya sekarang adalah untuk mereka berniaga secepat mungkin dan itu yang penting,”katanya.

Terdahulu, Annuar meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk melihat sendiri kesan kebakaran di Pasar Datok Keramat yang berlaku pada pukul 5.32 petang semalam.

Beliau yang tiba pada pukul 11.17 malam dan disambut Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa dan turut mendengar taklimat ringkas yang disampaikan wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur sebelum meninjau keadaan sekitar dan bertemu dengan peniaga yang terjejas. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas