Berita

Alamanda sumbang RM10,000 kepada Hospital Putrajaya

DR NORAI (empat kanan) menerima sumbangan daripada Alamanda yang disampaikan oleh Pengurus Besar Alamanda, Ameer Thajudeen. DR NORAI (empat kanan) menerima sumbangan daripada Alamanda yang disampaikan oleh Pengurus Besar Alamanda, Ameer Thajudeen.
- Diterbit 24 September 2020 7:41 AM MYT

PRIHATIN dengan keperluan petugas barisan hadapan (frontliners), kompleks beli belah Alamanda tampil menyumbang barang makanan dan minuman bernilai sehingga RM10,000 kepada Hospital Putrajaya.

Menurut jurucakap Alamanda, sumbangan tersebut adalah hasil kutipan dana daripada Kempen Merdeka yang diadakan bermula 24 Ogos hingga 16 September lalu.

“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. Pada masa ini, kita laksanakan sumbangan RM1.

“Sumbangan itu diperoleh daripada pengunjung Alamanda yang tidak memakai pelitup mulut (mask). Mereka diberikan mask tetapi perlu menyumbang RM1 kepada tabung dana,” ujarnya selepas menyumbang barang makanan dan minuman kepada Hospital Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr Norai Mohd Said berkata, sumbangan yang diberikan itu dapat membantu frontliners dan juga pesakit.

“Alhamdulillah, amat membantu kerana mereka (frontliners) tidak sempat keluar apabila sudah memulakan shif kerja dan memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE),” katanya.

Dalam pada itu, Dr Norai turut menyeru individu mahupun pihak korporat memberi sumbangan terutama dari segi peralatan perubatan kerana ia sangat diperlukan untuk membantu pesakit.

Mengambil contoh PPE, jelas beliau, dianggarkan 50,000 set digunakan setiap bulan kerana ia adalah jenis pakai buang.

“Seperti di Jabatan Kecemasan, terdapat tiga shif tugasan dan di situ sahaja sudah ada berpuluh petugas untuk waktu siang.

“Ia belum termasuk waktu malam hingga ke pagi. Jadi penggunaan PPE sangat banyak,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas