Kawalan keselamatan lalu lintas bantu lancar sambutan Merdeka – PDRM

Kawalan keselamatan lalu lintas bantu lancar sambutan Merdeka – PDRM

PUTRAJAYA – Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan lencongan dan penutupan jalan di beberapa laluan di sekitar Putrajaya secara berperingkat bermula pukul 6 pagi sehingga selesai.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, laluan yang terlibat adalah di Laman Perdana, Persiaran Perdana, Lebuh Saujana, Jalan Tunku Abdul Rahman, Lebuh Wawasan, Lebuh Bestari, Jalan Pembangunan, Jalan Kemerdekaan dan Lebuh Setia.

Sehubungan itu, katanya,orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan jalan alternatif dan merancang perjalanan sebaik mungkin atau menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalulintas.

Selain itu, beliau turut meminta supaya orang ramai mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan pegawai atau anggota yang bertugas serta tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan terutamanya di laluan yang terlibat dengan acara bagi mengelakkan tindakan penundaan (ke IPD Putrajaya) dan saman.

“Sentiasa menjaga keselamatan diri dan barang peribadi sewaktu berada di lokasi sambutan yang sesak dengan orang ramai bagi mengelakkan kejadian jenayah seperti seluk saku serta tidak meninggalkan barang berharga di dalam kenderaan dengan memastikan kenderaan berkunci.

“Pihak polis mengharapkan kerjasama orang ramai supaya mematuhi segala arahan dan nasihat yang diberikan agar Sambutan Hari Kebangsaan berjalan lancar. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline IPD Putrajaya di talian 03-8886 2222 atau Hotline Trafik KL di talian 03-2071 9777,” katanya.

Jelas Roslan Bek, sambutan berkenaan akan dimeriahkan dengan perbarisan dan perarakan aset-aset PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi kerajaan serta swasta.

Tambahnya, 5,000 lot parkir awam disediakan dan bagi memudahkan orang ramai untuk ke lokasi sambutan shuttle bas disediakan. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS