KATA orang, ada waktunya berdiam diri itu lebih baik jika bersuara boleh memburukkan lagi keadaan.
Itulah tindakan yang diambil oleh pengasas produk kosmetik terkenal ANAS Cosmetics, Anas Zahrin yang menyahut cabaran Lathi atau ‘Lathi Challenge’.
Walaupun dikritik agamawan dan beberapa artis, Anas mengambil pendekatan tidak mahu memberi komen atau maklum balas kepada mereka. Diam itu lebih baik.
Cabaran Lathi yang menyaksikan transformasi wajah cantik menjadi hantu melalui teknik solekan dikatakan menyalahi syarak.

Menurut agamawan, hukum bagi cabaran itu adalah haram disebabkan beberapa faktor selain menyalahi syarak.
Antaranya adalah cabaran ‘Lathi’ ini sendiri dilihat daripada sudut agama mempunyai unsur syirik seperti memuja syaitan, mencemar kemuliaan wajah kurniaan Allah dan sebagainya.
“Setiap orang ada pandangan, reaksi dan terjemahan masing-masing dalam hal ini. Ia sangat subjektif. Ada yang menerima dan sebaliknya.

“Saya menerima semua komen dengan hati terbuka dan lapang dada.
“Mengejutkan saya apabila ramai yang memuji usaha saya menampilkan transisi solekan yang rata rata melihatnya cukup sempurna dan kreatif.
“Lebih utama saya mahu orang ramai menghargai sentuhan dan bakat jurusolek tidak mengira samada komersial atau kesan khas,” katanya.
Disukai masyarakat Indonesia
Dalam pada itu, ramai yang mengagumi usaha Anas ini. Penyanyi, komposer, warganet dari seberang, Indonesia termasuk Instafamous terkenal, Mimi Peri juga melayangkan ucapan pujian kepadanya.
Malah penyanyi asal lagu Lathi dari Indonesia yang menggelarkan diri mereka sebagai Weird Genius secara kolaborasi bersama penyanyi cantik molek Sara Fajira, memberikan komen yang sangat membina buat anak muda dari Malaysia ini
Ini menjadi salah satu platform terbaik buat anak muda ini untuk membuka mata semua bahawa, hasil seni sebegini juga boleh di terima sehingga ke negara seberang.

Tak ketinggalan selebriti tempatan seperti Datin Diana Danielle, Zulin Aziz, Bella Astillah, Uyaina Arshad, Nadiyah Shahab serta ramai lagi juga memuji usahanya itu
Sebelum ini, video transformasi wajah lelaki biasa kepada putera jawa seterusnya menjadi sosok seram menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi.
Apa yang menarik, video yang dimuat naik itu juga ditonton hampir 600,000 orang selain lebih 7 ribu komen diterima dan mendapat reaksi lebih 20 juta di laman Twitter & Instagram, membuatkan video yang di muat naik Anas antara yang terbaik di Malaysia dan Indonesia setakat ini. – WILAYAHKU