Berita

Uzbekistan, tunggu kami datang!

UMAR HAKEEM (depan, dua dari kanan) bersama pasukannya semasa pusingan kelayakan Kejohanan AFC-19 di Kemboja baru-baru ini.
- Diterbit 15 November 2019 5:47 AM MYT

Oleh Muhamad Nabeel

KUALA LUMPUR – Kejayaan menyumbat gol tunggal pada minit ke-84 sekali gus menum­paskan gergasi Asia Tenggara, Thailand 1-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan G Kelayakan Konfederasi Bola sepak Asia Bawah 19 Tahun (AFC B-19) 2020 di Kemboja baru-baru ini mencipta kenangan manis buat Umar Hakeem Suhar Redzuan, 17.

Kemenangan berharga tersebut berjaya membawa pasukan Malaysia bawah 18 tahun melaungkan amaran awal di Tashkent, Uzbekistan apabila mengesahkan tempat pusingan akhir kelayakan di Kejohanan AFC bawah 19 2020.

Pemain sayap kiri bawah 18 tahun di bawah bimbingan Brad Moloney ini menyifatkan kemenangan itu adalah suatu pengalaman yang amat berharga buat dirinya sepanjang tahun ini.

“Ia adalah perasaan luar biasa yang tidak dapat digambarkan apabila da­pat menjaringkan gol. Pun begitu, gol ini adalah hasil daripada permainan hebat dan semangat kerjasama yang padu secara berpasukan.

“Semua pemain bukan sahaja mempamerkan corak permainan yang terbaik malah sangat menakjubkan sehingga berjaya memenangi perlawanan. Sejujurnya, ini adalah kemenangan setiap orang,” ulas pemain ini tentang kejayaan yang diraih pasukannya baru-baru ini.

Lebih manis lagi, kejayaan ini turut menyaksikan pasukan negara menang bergaya bagi kesemua per­lawanan dalam kumpulan yang turut menurunkan Suphanat Muenta iaitu pemain pasukan senior Thailand.

Berjaya menyempurnakan hantaran lintang Azam Azmi seterusnya mencipta gol pada kejohanan baru­-baru ini, Umar dan pasukan Malaysia bawah 18 tahun dilihat tidak sabar untuk mencipta kejayaan lebih besar lagi Tashkent pada tahun hadapan.

Terdahulu, pasukan negara me­mulakan kempen dalam pusingan kelayakan ini dengan menumpaskan tuan rumah Kemboja 5-4, seterusnya menang besar terhadap Brunei 11-0 dan Kepulauan Utara Mariana 10-0.

Sebagai rekod, Kejohanan AFC B-19 2020 di Tashkent, Uzbekistan nanti merupakan penampilan ke-24 pasukan negara sejak kejohanan itu dipertandingkan. Kali terakhir pasukan negara layak ke kejohanan tersebut adalah pada tahun 2018 di Indonesia.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas