Berita

Pemain luar negara bakal meriahkan gelanggang

SIN HAN (tengah, lima dari kiri) bersama pemain yang menyertai Kejohanan Badminton Lelaki Terbuka anjuran DSBC baru-baru ini.
- Diterbit 15 November 2019 5:43 AM MYT

Oleh Md Khairul Azad Yunus

LABUAN – Dalam usaha menyemarakkan sukan badminton di Labuan, Kelab Badminton Datuk Seri Badminton Court (DSBC) bakal menjemput pemain badminton handalan dari luar negara bagi meningkatkan kemampuan dan semangat pemain tempatan.

Menurut Pengerusi Kelab Badminton DSBC, Datuk Seri Goh Sin Han, dengan kehadiran mereka, secara tidak langsung pemain-pemain tempatan sedia ada akan menanam impian untuk menyarung jersi kebangsaan suatu hari nanti dan mewakili negara ke kejohanan antarabangsa.

“Perancangan sudah dilakukan dan kita bakal mengundang pasukan dari Brunei, Filipina serta Thailand untuk menyertai kejohanan badminton yang akan diadakan tidak lama lagi,” ujarnya.

Sin Han berkata, selain memeriahkan sukan badminton Labuan, kehadiran pemain luar negara dapat membantu menjana ekonomi serta merancakkan lagi industri pelancongan di Wilayah Persekutuan.

“DSBC juga akan terus memastikan badminton menjadi acara sukan yang digemari rakyat tempatan sekali gus memberi banyak pilihan kepada mereka untuk mewakili Labuan ke kejohanan badminton peringkat kebangsaan pada masa hadapan,” ujarnya.

Tambahnya, pada tahun depan, DSBC akan menganjurkan acara berpasukan seperti Purple League Junior Bawah 18 Tahun.

DSBC baru sahaja melabuhkan tirai Kejohanan Badminton Lelaki Terbuka selama dua hari di Dewan DSBC, Kampung Sungai Keling, Labuan.

Pada kejohanan tersebut, 34 pasukan beregu lelaki berentap merebut gelaran juara.

Sebagai rekod, DSBC merupakan kelab badminton paling aktif di Wilayah Persekutuan Labuan yang menganjurkan lebih lima kejohanan badminton setiap tahun.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas