Berita

Guru al-Quran terima Anugerah Maulidur Rasul Labuan 2019

AHLI Perlimen Labuan, Datuk Rozman Isli menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada Halimah baru-baru ini. Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussein (tiga dari kiri).
- Diterbit 15 November 2019 5:53 AM MYT

LABUAN – Guru al-Quran, Halimah Saian, 59, dinobatkan sebagai Pene­rima Anugerah Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019.

Halimah berkata, penganugerahan itu adalah di luar jangkaannya dan ia menyuntik dorongan untuk terus menyumbang bakti kepada masyarakat.

“Saya mengambil keputusan untuk mendalami al-Quran setelah kematian suami pada 2012 melalui bimbingan Ustazah Hasinah Alwi dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Selama kira-kira empat tahun, pengajian tersebut telah meningkatkan bacaan saya sehingga dapat memantapkan lagi ilmu berkaitan dengan tajwid dan makhraj,” katanya.

Ujar Halimah, semuanya bermula ketika di tahun tiga pengajian, apabila dia telah diminta untuk mengajar seorang rakan yang agak lambat dalam pembacaan al-Quran.

“Permulaanya, saya menolak untuk mengajar kerana belum bersedia tetapi setelah diminta berkali-kali, saya pun akur.

“Saya hanya mengajar seorang sahaja di Surau Pasar Sentral selama tiga bulan. Ia kemudian diketahui rakan-rakan lain,” katanya yang telah mendapat tauliah mengajar al-Quran dari Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Jelas Halimah, sehingga kini dia mengajar secara sepenuh masa untuk golongan wanita di surau tersebut dan mempunyai kira-kira 40 orang pelajar.

“Saya turut mengajar golongan wanita seramai 25 orang di Balai Raya Kampung Bukit Kuda,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas