Berita

Usahawan kosmetik pukul anak angkat dibebas dengan jaminan polis

PDRM
2019.
- Diterbit 6 Mac 2020 10:19 AM MYT

SHAH ALAM – Usahawan kosmetik terkenal yang didakwa mendera anak angkatnya, bulan lalu, sudah ditahan polis  semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, lelaki berkenaan bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Ya. Semalam kita sudah tahan dan siasatan sudah dibuat,” katanya kepada Wilayahku  di sini hari ini.

Rabu lalu, media melaporkan usahawan lelaki berkenaan disyaki memukul anak angkatnya dalam satu kejadian pada 28 Februari lalu.

Difahamkan kejadian berlaku di kediaman usahawan kosmetik itu di Petaling Jaya, sebelum pembantu rumahnya membuat laporan polis, sehari kemudian.

Berikutan itu, polis sudah merakam percakapan suspek bagi membantu siasatan kes pukul anak angkatnya berusia dua tahun itu.

Selain suspek terbabit yang sering mencipta kontroversi menerusi program di saluran media sosial miliknya, polis juga sudah merakam percakapan terhadap empat saksi lain termasuk mereka yang berada di rumah usahawan terbabit di Petaling Jaya.

Berdasarkan maklumat daripada pengadu kes ini, suspek memukul anak angkatnya semasa berada di kediamannya sewaktu ingin merakam gelagatnya sedang menangis untuk tujuan publisiti. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas